Indonesia Cadang Isytihar Darurat Jerebu

JAKARTA – Kerajaan Indonesia sedang mempertimbang untuk mengisytiharkan darurat berikutan kebakaran hutan di negara itu sejak beberapa minggu lalu, yang turut menyebabkan jerebu teruk di kebanyakan negara Asia Tenggara.

 

Naib Presiden Jusuf Kalla berkata, kerajaannya akan meningkatkan usaha untuk mengawal kebakaran yang mengakibatkan pencemaran di seluruh rantau itu ke tahap tidak sihat, hingga memaksa sekolah ditutup dan penerbangan dibatalkan.

 

“Masalahnya terlalu besar. Kami kini sedang mempertimbangkan untuk mengisytiharkan darurat,” katanya juga memberitahu ribuan anggota tentera akan dikerah untuk membantu memadam kebakaran tersebut.

 

Katanya lagi, Presiden Joko Widodo dijangka membuat keputusan mengenai pengisytiharan itu selepas pulang dari lawatan rasmi pertamanya di Amerika Syarikat.

 

Dalam perkembangan berkaitan, hujan yang turun kelmarin di wilayah terjejas membawa sedikit kelegaan, namun ia tetap gagal untuk memadam kebakaran.

 

“Hujan menambah baik kualiti udara tetapi di sesetengah kawasan, tahap pencemaran kekal di paras tidak sihat. Kehadiran awan bermakna hujan didorong oleh bahan kimia yang dilepaskan dari pesawat, ” menurut jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, Sutopo Nugroho. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.