Haramkan Rokok Sekali, Jika Vapor Diharamkan

SHAH ALAM – Wira Perkasa Malaysia hari ini membantah kenyataan Menteri Kesihatan Datuk S. Subramaniam semalam yang menyatakan kesediaan kerajaan mempertimbangkan untuk mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vapor.

 

Ketuanya, Irwan Fahmi Ideris mempertikaikan tindakan itu dan membangkitkan persoalan mengenai pengharaman rokok yang sepatutnya diharamkan.

 

“Mengapa perlu diharamkan penggunaan vapor? Tahukah mereka, negara Eropah banyak telah meluluskan dan menggalakkan penggunaan vapor ini. Antaranya adalah Agensi Kesihatan Awam England (PHE) yang telah mengeluarkan kenyataan media di mana mereka meluluskan penggunaan vapor kerana kajian mereka mendapati penggunaan vapor adalah 95 peratus lebih selamat dari rokok biasa.

 

Jadi apa lagi alasan mereka (kerajaan) untuk mengharamkan vapor ini?

 

“Mengapa rokok tembakau yang jelas dan nyata membahayakan kesihatan tidak diharamkan? Adakah kerana hasil penjualan vapor ini tidak memberi manfaat kepada kerajaan untuk mengutip cukai? Jangan berat sebelah. Meluluskan rokok tembakau bercukai dan mengharamkan vapor yang ‘bebas cukai’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Subramaniam dilaporkan berkata, kementerian sedang meneliti aspek undang-undang penguatkuasaan untuk diguna pakai bagi menambah baik akta sedia ada bagi membolehkan tindakan pengharaman vapor dilaksanakan.

 

Dalam pada itu, Irwan berkata, tindakan mengharamkan vapor sebagai tidak profesional seorang menteri.

 

“Sebagai seorang menteri kesihatan, beliau sepatutnya tahu beza baik dan buruk antara vapor dengan rokok tembakau,” katanya.

 

Menurutnya lagi, sekiranya vapor diharamkan, rokok tembakau juga perlu diharamkan.

 

“Untuk memperlihatkan pengadilan dalam hal ini jika benar mereka mahu haramkan vapor, saya memberi saranan kepada Kementerian Kesihatan agar mengharamkan juga pengeluaran rokok tembakau.

 

“Saya percaya tindakan ini susah untuk mereka laksanakan kerana umum mengetahui rokok tembakau merupakan salah satu penyumbang cukai yang tinggi kepada negara,” katanya.

 

Malah menurut Irwan, vapor telah membantu Kementerian Kesihatan dalam rangka kempen berhenti merokok.

 

“Vapor ini juga merupakan salah satu kaedah untuk berhenti merokok. Kewujudan vapor di Malaysia sudah lama. Kenapa semasa mula-mula vapor diperkenalkan dahulu mereka menyarankan kepada perokok untuk menukar dari merokok ke vapor? Tapi apabila industri vapor berkembang luas vapor dikatakan bahaya dan perlu diharamkan.

 

“Adakah ia bahaya kerana tidak dikenakan cukai pada vapor? Adakah jika selepas dikenakan cukai, vapor ini selamat digunakan?

 

Banyak cara boleh difikirkan selain mengharamkan vapor ini. Saya juga ingin sarankan pada mereka agar fokus sahaja dengan kempen berhenti merokok. Tak perlulah ganggu dan campur tangan dalam isu ini. Malah vapor telah membantu kementerian dalam kempen mereka sebenarnya,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.