GST RM19 Sehari, Matematik Rafizi Ditempelak

KUALA LUMPUR – Dakwaan Rafizi Ramli kerajaan akan mengutip Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) lebih tinggi berbanding kenaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tahun depan, dibidas anggota Parlimen kerajaan yang menyifatkan Anggota Parlimen Pandan itu sengaja memutar belit fakta untuk menghasut rakyat.

 

Datuk Nawawi Ahmad (BN-Langkawi) yang tegas menolak dakwaan itu menyifatkan pengiraan Rafizi ‘tidak logik’ mengambil kira perbelanjaan itu diandaikan dibuat oleh ‘orang biasa’.

 

“Bagi saya orang biasa ialah mereka yang berpendapatan RM4,000 ke bawah. Kalaulah RM17 sehari (kutipan kerajaan) maknanya beliau kena belanja RM283 membeli barang-barang berGST dan dalam tempoh sebulan perbelanjaan mencecah RM8,500 sebulan untuk membeli barangan GST sahaja.

 

“Itu belum lagi barang-barang lain yang tidak dikenakan GST,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 di Dewan Rakyat di sini, semalam.

 

Nawawi berkata perkiraan Rafizi itu jelas tidak tepat kerana mereka yang tergolong dalam pendapatan itu tidak akan mampu membayar GST melebihi pendapatan bulanan.

 

“Mana logik matematik yang membolehkan gaji RM4,000 sebulan membeli barang lebih RM8,500 sebulan…tiap-tiap bulan dia akan berhutang RM4,500 atau lebih 100 peratus daripada sumber gaji bulanan,” katanya.

 

Rafizi sebelum ini mendakwa kerajaan bakal mengutip purata GST RM19 sehari daripada setiap keluarga di negara ini pada tahun depan dan jumlah itu lebih besar berbanding jumlah kenaikan BR1M hanya 14 sen sehari.

 

Peralihan cukai itu juga akan menyebabkan rakyat Malaysia akan membayar sebanyak RM13 bilion cukai tambahan bagi tahun depan, dakwa Naib Presiden merangkap Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

 

Perkara itu turut disentuh Ahmad Nazlan Idrin (BN-Jerantut) yang menyifatkan dakwaan Rafizi itu satu lagi penipuan dan perkiraan yang tidak waras.

 

“Ini lagi satu penipuan. Kalau seseorang belanja RM316 sehari bolehlah kerajaan kutip RM19 sehari, tapi adakah ini satu perkiraan yang waras?

 

“Rata-rata pendapatan golongan B40 tidak sampai RM3,000…maknanya ini satu lagi kaedah putar belit dan kenyataan menghasut rakyat,” katanya yang membahaskan rang udang-undang sama. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.