FAM Masih Buka Permohonan Jawatan Ketua Jurulatih Skuad Harimau Malaya

PETALING JAYA – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih membuka permohonan kepada mereka yang berminat mengisi jawatan ketua jurulatih skuad Harimau Malaya.

 

 

Timbalan Presiden FAM Datuk Abdul Mokhtar Ahmad berkata pihaknya masih mempunyai masa sehingga hujung tahun ini, untuk menilai calon yang berpotensi bagi menggalas tugas berkenaan.

 

 

“Kami ada masa sehingga hujung tahun, jadi tiada masalah. Apa yang kita ada ketika ini (lebih 30 permohonan) sudah diserahkan kepada Jawatankuasa Teknikal.

 

 

“Jawatankuasa ini akan memperhalusi, tapis dan membuat laporan sebelum ia diserahkan kepada satu panel pemilihan di mana kita masih belum muktamadkan senarai calon yang sesuai,” katanya.

 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengumumkan kerjasama antara FAM dan syarikat pangkalan data sukan yang berpangkalan di Switzerland, SportRadar di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

 
Antara individu dilaporkan memohon jawatan berkenaan adalah bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim, Bojan Hodak; bekas jurulatih Kelantan, George Boateng dan bekas jurulatih Sarawak, Robert Alberts, selain bekas ketua jurulatih skuad B-23 negara Datuk Ong Kim Swee.

 
Jawatan berkenaan kosong selepas Dollah Salleh meletak jawatan susulan kekalahan memalukan 0-10 Malaysia kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan ketiga Kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Abu Dhabi, UAE, 3 Sept lepas.

 
Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung (Antarabangsa) FAM Lazarus Jensen Xavier berkata Jawatankuasa Pemilihan B-23 negara, akan mengadakan mesyuarat Isnin depan, untuk menyenarai pendek hampir 100 permohonan yang diterima untuk jawatan Ketua Jurulatih B-23, yang ditutup beberapa minggu lepas.

 
Jawatankuasa itu terdiri daripada tiga wakil Majlis Sukan Negara (MSN), selain timbalan pengerusi jawatankuasa berkenaan Datuk Mohd Junid Mohd Noor, bekas jurulatih kebangsaan B. Sathianathan dan Pengarah Teknikal FAM Fritz Schmid

 
“Kami menerima banyak permohonan termasuk dari negara Amerika Selatan, tetapi kita melihat calon berpotensi yang mempunyai pengalaman luas, kedua-dua dalam latihan dan juga program pembangunan selari dengan keperluan kita,” katanya.

 
FAM juga membuat keputusan mencari jurulatih baharu skuad B-23 berikutan prestasi buruk pasukan berkenaan dalam beberapa kejohanan terutama pada Sukan SEA 2015 di Singapura yang berlangsung pada Jun, apabila Malaysia menamatkan kempen setakat di peringkat kumpulan.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.