Tun Mahathir Pertahan Kenyataan Perkasa, Bakar Bible

Kuala Lumpur – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempertahankan kenyataan Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali yang telah menyeru umat Islam membakar salinan Bible versi Bahasa Melayu yang mengandungi kalimah Allah.

Menurut beliau, membakar kitab suci adalah dibenarkan di dalam Islam selagi ia dilakukan tanpa niat buruk, seperti yang dilakukan terhadap Al-Quran yang telah lama.

“Kita selalu membakar Al-Quran apabila kitab itu sudah terlalu lama, dan sudah tentunya kita tidak boleh membuang sebuah kita suci sesuka hati dan cara terbaik ialah dengan membakarnya.

“Oleh itu, membakar Al-Quran dengan niat baik tidak mengapa… hanya apabila anda tunjukkan rasa tidak hormat pada Al-Quran, ia adalah salah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Women Extraordinaire Forum (WEF) 2014 Di Bukit Kiara pada Rabu.

Tegas Dr Mahathir, apa yang dilarang ialah membuang kitab tersebut sesuka hati, memijaknya atau perkara-perkara sedemikian.

“Mereka (PERKASA) harus menunjukkan rasa hormat terhadap Bible, dan dengan membakarnya sebagaimana mereka membakar Al-Quran,” katanya.

Tambah beliau, dalam konteks ini Ibrahim hanya menasihati perkara yang dibolehkan dalam Islam, dan ia bukannya hasutan.

Semalam, Jabatan Peguam Negara memaklumkan tidak akan mendakwa Ibrahim Ali mengikut Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataannya menyeru umat Islam merampas dan membakar salinan bible Al-Kitab yang mengandungi perkataan “Allah”.

Ini kerana kenyataan beliau tidak dalam lingkungan definisi kecenderungan menghasut mengikut Akta Hasutan 1948, kata Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Jabatan itu merujuk kepada kenyataan Ibrahim pada sidang media selepas tamatnya Konvensyen Perkasa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang pada Januari 2013.

Ibrahim membuat kenyataan itu bagi mengulas kejadian pengedaran Bible kepada golongan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelutong, Pulau Pinang pada 17 Jan 2013, di mana tiga lelaki Cina dikatakan mengedar sejumlah Bible kepada pelajar sekolah itu termasuk pelajar Islam di hadapan sekolah berkenaan.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sebelum ini berkata tidak bersetuju dengan Jabatan Peguam Negara yang tidak mengklasifikasikan kenyataan Ibrahim yang menggesa Bible berbahasa Melayu dibakar sebagai mengasut.

Ketua Pemuda Umno itu berkata, jelas apa yang diperkatakan Ibrahim adalah menghasut kerana mahu membakar kitab suci agama lain.

“Saya dah buat pendirian berkenaan kes ini. Bagi saya ia berbaur hasutan. Saya tak setuju.

“Terpulang kepada Peguam Negara. Pandangan peribadi saya kalau buat kenyataan nak bakar kitab orang lain, itu adalah hasutan.

“Peguam Negara ada kebebasan untuk buat keputusan dari segi pendakwaan. Tetapi kalau ditanya saya adakah kenyataan itu menghasut? Sudah tentu,” katanya pada satu sidang media di ibu pejabat Umno di Menara Dato’ Onn sebelum ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.