Tidak Mustahil Wanita Jadi PM – Dr Mahathir

Kuala Lumpur – Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan Malaysia diterajui perdana menteri wanita pada masa hadapan, mengambil kira dominasi golongan tersebut dalam universiti dan pentadbiran ketika ini.

Dr Mahathir berkata, Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang wanita menjadi perdana menteri sekiranya mendapat sokongan majoriti rakyat dan partinya.

“Tiada dalam Perlembagaan yang menghalang seorang wanita daripada menjadi perdana menteri,” katanya semasa memberi ucaptama dalam program “The Woman Extraordinaire Forum 2014” di Bukit Kiara, pagi ini.

“Sekiranya wanita tersebut mendapat sokongan majoriti daripada rakyat atau parti, tidak menjadi satu halangan.”

Dr Mahathir menyifatkan senario sekarang sudah berubah di mana lebih ramai wanita berada di peringkat pengurusan dan berpendidikan lebih tinggi berbanding lelaki.

“Sekarang, kita lihat lebih ramai wanita dalam pengurusan, setiap kementerian ada wanita. Malah, lebih jelas lagi, lebih banyak wanita daripada lelaki dalam universiti,” katanya.

“Dalam sesuatu universiti, kadang-kadang ada 70 wanita dan hanya 30 lelaki, ini menunjukkan dengan jelas wanita memainkan peranan lebih penting berbanding lelaki.

“Lelaki sekarang kurang berpendidikan berbanding wanita,” kata Dr Mahathir.

Menurut Dr Mahathir, peranan wanita sekarang bukan sahaja tertumpu kepada menjaga keluarga tetapi juga semakin kelihatan di peringkat kerajaan.

“Baru-baru ini, presiden baru Brazil yang dipilih adalah seorang wanita. Ini ialah petunjuk masa depan dunia,” tambah beliau.

Dr Mahathir berkata semakin ramai wanita di Malaysia berjaya sama ada dalam kerajaan atau swasta.

“Di Malaysia, kita lihat sekurang-kurangnya seorang wanita akan dilantik sebagai menteri kabinet, ini tidak berlaku di mana-mana.

“Tapi di Malaysia kita sudah mengiiktiraf wanita mampu menyumbang ke arah pentadbiran negara,” katanya.

Beliau berpendapat wanita lebih berintegriti berbanding lelaki.

“Sebahagian kerja yang terdedah kepada rasuah perlu diberi kepada wanita, kerana mereka akan lakukan kerja lebih baik,” tambahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.