Stacy Belanjakan RM10,000 Beli Barang Rumah Yang Musnah Dilanda Bencana Banjir

Kuala Lumpur – Penyanyi Stacy membelanjakan lebih RM10,000 untuk membeli semula kelengkapan rumah milik keluarganya yang terletak di Penampang, Sabah, yang musnah akibat bencana banjir kilat yang melanda negeri dibawah bayu itu baru-baru ini.

Stacy, 24, yang ditemui pada sidang media program realiti terbaru TV9, Pop Krew, berkata, sewaktu mendapat berita rumah keluarganya dilanda banjir, dia sangat bimbang akan keselematan ahli keluarganya dan risau kemungkinan yang lebih buruk berlaku. Apatahlagi lokasi rumahnya paling hampir dengan sebatang anak sungai.

“Rumah saya di kampung di diami oleh bapa, abang dan kakak saya. Bila dapat tahu rumah dilanda banjir, saya cukup risau akan keselamatan mereka. Sebab, rumah saya paling hampir dengan sungai. Memang la sungai itu kecil tapi kalau sudah dinaiki air, bimbang juga sungai itu boleh jadi besar.

“Saya difahamkan air naik dengan begitu cepat dan ahli keluarga saya tak sempat nak berbuat apa-apa. Hanya barang-barang di bahagian atas saja yang selamat. Semua kelengkapan yang berada di bahagian bawah seperti peti ais dan barang elektrik lain serta kelengkapan lain habis rosak.

“Jadi sekarang saya bantu keluarga saya untuk beli semua kelengkapan yang diperlukan serta membaiki bahagian-bahagian rumah yang rosak. Saya belanjakan lebih RM10,000 untuk ganti rugi tersebut”,katanya kepada Malaysian Digest.

Bagaimanapun Stacy berkata keluarganya tidak bercadang untuk berpindah ke kawasan lain memandangkan di situlah kampung mereka sejak kecil lagi.

“Keluarga tak mahu pindah, sebab itu kampung kami. Sayang nak tinggalkan. Saya pun sejak kecil dibesarkan di sana. Cuma sekarang kami ambil langkah berjaga-jaga. Bapa dan abang saya sudah buat dinding bagi menghalang air naik dan kejadian banjir berulang”, ujarnya lagi.

Rahsia Cantik

Dalam pada itu, Stacy sempat diusik pihak media tentang rahsia dirinya kini kelihatan kurus dan semakin cantik.

“Cantik?! Tidaklah… biasa-biasa saja”, balasnya tersipu malu.

“Mungkin sebab dulu saya kan nampak berisi, kulit pun gelap dan tak pandai senyum. Sekarang mungkin dah nampak saya lain sikit.

” Tapi saya tak suntik-suntik ya. Sejak kebelakangan ni saya belajar untuk jaga penampilan. Maklum sajalah sebagai artis, imej tu penting bagi golongan seperti kami. Lagipun bila saya tengok semula gambar-gambar saya yang dulu, saya gelak. Terasa diri ni teruk dari segi penampilan. Dulu saya tak pandai senyum. Jadi, saya belajar senyum depan cermin.

“Selain jaga pemakanan, saya amalkan minum minuman spirulina. Kulit saya sekarang bertambah cerah, mungkin sebab saya jarang keluar rumah. Berbeza dengan dulu saya selalu berjemur. Dulu saya tak tahu pun apa tu sunblock, sekarang ni kalau nak keluar pun kena tunggu cuaca redup sikit. Saya juga amalkan bersukan. Sejak dari dulu saya sukan aktiviti sukan. Saya dengan Akim (AF) selalu kami bermain badminton dan futsal bersama-sama”, jelasnya dengan panjang lebar.

Terlanjur pelantun lagu ‘Kisah Dongeng’ ini menyebut nama kekasihnya itu, ditanya juga tentang perkembangan hubungan mereka.

“Saya dan Akim, kami masih berkawan. Dah enam tahun dan kami selesa dengan hubungan sekarang. Tentang soal kahwin rasanya kami masih muda lagi untuk ke arah itu. Masih banyak lagi perkara yang kami masing-masing ingin capai. Apa yang penting bagi saya, kami saling mempercayai satu sama lain dan itu yang buat kami boleh serasi”, katanya.

Perkembangan lain, di samping terlibat sebagai juri juara (juri online) ‘Akademi Fantasia 2014’, Stacy juga dipertanggungjawab mengalas peranan sebagai coach bagi program realiti terbatu terbitan TV9, ‘Pop Krew’. Program yang turut menampilkan Tomok sebagai coach itu merupakan sebuah program pencarian bakat remaja yang berusia 15 hingga 19 yang versatil iaitu berkebolehan untuk menyanyi dengan baik, boleh menari, berimej segar dan menarik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.