Sabotaj Dalaman Pakatan Rakyat Berterusan, Merosakkan Parti

Sabak bernam – Perbuatan sabotaj di antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat (PR) tidak akan selesai sekiranya masalah dalaman parti terus berlaku.

Ahli Parlimen Sabak Bernam Mohd Fasiah Mohd Fakeh berkata kemelut Menteri Besar (MB) Selangor masih lagi berlaku apabila ada segelintir penyokong PR yang tidak puas hati dengan perlantikan Mohamed Azmin Ali sebagai MB yang baru.

“Saya kira ianya berpunca dari masalah dalaman di antara ketiga-tiga parti yang masih tidak selesai sehingga ke hari ini. Begitu juga perselisihan pendapat antara PAS dan DAP juga dilihat masih tergantung dan tidak selesai sepenuhnya,” katanya.

Tambah beliau krisis yang berlaku dalam PR merupakan kesempatan UMNO untuk memperkukuhkan kedudukannya bagi mengembalikan sokongan rakyat.

“Bagi saya, sekiranya Pakatan bergolak maka biarkanlah mereka. Apa yang penting hari ini ialah bangsa Melayu perlu bersatu bersama-sama UMNO agar tiga teras perjuangan orang Melayu iaitu Islam, bangsa dan tanahair akan terus terpelihara.

“Kita bimbang, jika Melayu terus berpecah belah, kita akan hilang kekuatan dan ini akan memberikan kelebihan kepada pembangkang untuk memanipulasikan keadaan itu bagi mengelirukan rakyat dan meraih sokongan, biarpun hakikatnya pakatan pembangkang sendiri pun tidaklah sekuat mana,” jelas beliau menerusi laporan UMNO online.

Tambahnya lagi, kemenangan Pembangkang di Selangor bukan kerana mereka kuat, tetapi kerana mereka bijak memanipulasi pemikiran rakyat serta mengambil kesempatan diatas kelemahan UMNO.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.