Pendarahan Punca Kematian – Forensik

Kuantan – Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu, kece­deraan dan pendarahan di dada akibat kesan tembakan merupakan punca kematian Ketua Penolong Pengarah (Penguat Kuasa), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Ab. Malek, November tahun lalu.

Pakar Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Dr. Nor Zaimah Mohamad Idris berkata, beliau membuat ke­simpulan itu kerana salah satu tembakan yang terkena di dada kanan mangsa mengenai salur darah subklavia kanan, tenggorok dan paru-paru kanan.

“Ini mengakibatkan pendarahan yang banyak ke dalam ruang paru-paru dan keluar tubuh mangsa. Pendarahan tersebut menyebabkan berlaku renjatan hipovolemik (kekurangan cecair dalam badan) sehingga menyebabkan kematian mengejut.

“Berdasarkan ciri-ciri luka pada jasad mangsa juga mendapati ia konsisten dengan kesan tembakan senjata api,” kata saksi pendakwaan ketiga itu ketika di­soal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kalmizah Salleh dalam perbicaraan kes bunuh Ahmad Raffli, 49.

Dalam kes ini, ketua ajaran sesat Tuhan Harun, Harun Mat Saat, 48, bersama isteri ketiganya, Azida Mohd. Zol, 31; pemandu mereka, Shaizral Eddie Nizam Shaari, 38, dan Jefferi Safar, 37, dibicarakan atas tuduhan melakukan konspirasi jenayah dengan bersetuju antara mereka dengan niat membunuh Ahmad Raffli.

Dua pengikut Harun, Sumustapha Suradi, 39, dan Shamsinar Abdul Halim, 37, serta seorang lagi yang masih bebas pula dituduh membunuh Ahmad Raffli di Lorong IM2/29, Bandar Indera Mahkota, dekat sini kira-kira pukul 1.50 petang, 10 November 2013.

Sumustapha dan Shamsinar didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara Harun, Azida, Shaizral dan Jefferi didakwa mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang turut memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Kesemua tertuduh diwakili peguam Hermes Media Putra Ibrahim.

Terdahulu, Nor Zaimah berkata, pemeriksaan luaran ketika bedah siasat dilakukan bermula pukul 6.30 petang hingga 9.30 malam pada hari kejadian itu mendapati terdapat lapan kesan luka pada tubuh mangsa.

“Tiga adalah kesan luka tembakan masuk iaitu di bahagian dada kanan atas, dada kanan bawah dan kanan abdomen. Tiga lagi adalah tembakan keluar iaitu di bahagian belakang dada kanan, belakang badan, dan belakang kepala.

“Selain itu, dua lagi luka adalah kesan tembakan kemasukan semula di bahagian sisi dalam lengan kanan dan kesan tembakan keluar di belakang lengan kanan,” katanya.

Menurutnya lagi, pemeriksaan luaran sebelum bedah siasat dilakukan juga mendapati jasad masih dalam keadaan baik dan tidak lagi membusuk.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ab. Karim Ab. Rahman bersambung esok (hari ini).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.