Kes Cerai: Nurul Izzah Cuba Cari Penyelesaian Terbaik Hak Penjagaan Anak

Kuala Lumpur – Raja Ahmad Shahir Iskandar Raja Salim dan isterinya Nurul Izzah Anwar masih cuba mencari penyelesaian terbaik untuk menyelesaikan isu hak penjagaan anak (hadanah) yang difailkan ahli Parlimen Lembah Pantai itu pada April lepas.

Perkara itu dimaklumkan peguam syarie, Azmi Mohd Rais yang mewakili Raja Ahmad Shahrir, ketika ditemui media di luar mahkamah selepas kes itu disebut di dalam kamar Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah Amran Mat Zain, hari ini.

Turut hadir pada prosiding itu ialah peguam Normawaddah Ramli yang mewakili Nurul Izzah.

Namun, pasangan suami isteri itu tidak menghadiri prosiding berkenaan.

Azmi berkata pihak plaintif (Nurul Izzah) telah menghantar draf perjanjian berhubung cadangan hak penjagaan kedua-dua anak mereka menerusi e-mel kepada suaminya minggu lepas.

Azmi, yang enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai draf perjanjian berkenaan, berkata Raja Ahmad Shahir memerlukan masa meneliti cadangan berkenaan.

“Mahkamah turut mengarahkan defendan (Raja Ahmad Shahir) memasukkan pembelaan sekiranya tiada jalan penyelesaian berhubung isu hak penjagaan anak. 8 Disember ditetapkan untuk sebutan,” katanya.

Nurul Izzah, yang juga naib presiden PKR, memfailkan permohonan hadanah itu pada 30 April lepas mengikut Seksyen 81 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.

Pada awal Januari lepas, Nurul Izzah yang juga anak sulung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memfailkan permohonan cerai terhadap Raja Ahmad Shahir mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.

Seksyen itu menyentuh pembubaran perkahwinan yang memperuntukkan perceraian dengan talak atau dengan perintah mahkamah.

Nurul Izzah dan Raja Ahmad Shahrir Iskandar berkahwin pada 9 Mei 2003 dan dikurniakan seorang anak perempuan berumur tujuh tahun dan seorang anak lelaki berusia empat tahun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.