Kena Simbah Air Panas Hanya Kerana Enggan Beli Serbuk Minuman

Melaka – Seorang warga emas ditahan kerana menyimbah air panas ke muka isterinya yang enggan keluar membeli serbuk minuman, di sebuah rumah di Bachang di sini pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, lelaki berusia 61 tahun itu ditahan di rumah itu bagi membantu siasatan kira-kira jam 4 petang semalam.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila peniaga itu yang ingin membancuh minuman mendapati serbuk minuman di rumah mereka telah habis sebelum menyuruh isterinya ke kedai kira-kira jam 2 pagi Ahad.

“Lelaki tersebut berang apabila isterinya itu enggan ke kedai lalu menyimbahnya dengan air panas,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, wanita berusia 49 tahun dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan di pondok polis di hospital tersebut kira-kira jam 6 pagi pada Ahad.

Katanya lelaki tersebut ditahan reman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.

“Mangsa yang melecur di bahagian pipi kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.