Hina Presiden Jokowi, Tukang Cucuk Satay Ditahan Polis

Kuala Lumpur – Polis Indonesia menahan seorang individu atas tuduhan menghina presiden republik itu, Joko Widodo di media sosial semasa kempen pilihan raya Julai lepas, lapor Tempo.co.

Individu yang dinamakan sebagai MA itu ditahan sejak Khamis lalu di Markas Besar Polis Republik Indonesia di Jakarta.

Individu berumur 24 tahun itu bekerja sebagai tukang cucuk satay.

Menurut laporan portal berita tersebut individu itu memuat naik di Facebook foto-foto menyentuh soal agama dan perkauman terhadap Joko.

“Dia hanya ikut-ikutan saja, terjebak situasi politik saat itu,” kata peguam MA, Irfan Fahmi seperti dikutip oleh Tempo.co.

Menurut Irfan, MA melakukan hal itu kerana tidak faham bahawa perbuatannya boleh mencampakkannya ke penjara. Dia juga sudah menghapuskan foto-foto berkenaan kerana takut.

MA berdepan dakwaan di bawah undang-undang berkaitan dengan jenayah siber dan pornografi. Jika sabit tuduhan, dia boleh dipenjara sehingga 10 tahun.

Joko mengangkat sumpah jawatan sebagai presiden republik itu pada 20 Oktober lepas. Bekas Gabenor Jakarta itu mengalahkan lawannya, Prabowo Subianto dengan kelebihan 53 peratus undi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.