Bekas Hakim Wakili Anwar, Majlis Perguam Perlu Jelas Pendirian

Kuala Lumpur – Pemuda Gerakan hari ini meminta Badan Peguam Malaysia menjelaskan kepada umum pendirian mereka berhubung bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pembelaan bagi kes rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, perkara itu jelas bertentangan dengan resolusi badan itu yang pada Mac lalu melarang seorang hakim tinggi mewakili klien di mahkamah.

Beliau juga meminta Badan Peguam memberi penjelasan sama ada terdapat apa-apa ‘pengecualian khusus’ yang diberikan kepada ketua umum PKR itu.

“Seperti yang telah dinyatakan oleh Badan Peguam dalam resolusi mereka, perkara ini boleh mempengaruhi persepsi awam terhadap pentadbiran perundangan di negara kita.

“Badan Peguam Malaysia digesa untuk mengeluarkan penjelasan umum dengan segera,” kata Tan lagi.

Resolusi Badan Peguam Malaysia yang diluluskan pada 15 Mac 2014 pada mesyuarat agung tahunannya menggariskan larangan bagi bekas hakim untuk mewakili sebarang klien di dalam mahkamah.

Sementara itu peguam, Syahredzan Johan mempertahankan tindakan Gopal sambil menekankan bahawa resolusi yang dibuat Badan Peguam itu bukanlah sekatan dan tidak ada undang-undang yang menghalang beliau berbuat demikian.

“Tidak ada undang-undang menghalang mana-mana hakim bersara daripada bertindak sebagai kaunsel.

“Majlis Peguam, Badan Peguam Malaysia dan bahkan Ratu England sekalipun tidak mempunyai kuasa untuk menghentikan mana-mana hakim bersara daripada muncul di Mahkamah,” kata Syahredzan di akaun Facebooknya.

Jelasnya, resolusi yang dibuat itu tidak dimaksudkan untuk menjadi sekatan, tetapi hanya dikenakan pada Majlis Peguam untuk mencadangkan pindaan kepada undang-undang.

Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pembelaan yang terdiri daripada 14 peguam mewakili Anwar bagi perbicaraannya itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.