Chelsea bergelut atasi Shrewsbury; mara suku akhir Piala Liga

PENYERANG Chelsea, Didier Drogba (kiri) menjaringkan gol pembukaan ketika bertemu Shrewsbury Town di stadium Greenhous Meadow dekat Shrewsbury, awal pagi tadi. – Foto AFP

LONDON: Chelsea layak ke saingan suku akhir Piala Liga tapi terpaksa bergelut sebelum berjaya mengatasi Shrewsbury Town 2-1, awal pagi ini.

Didier Drogba memberikan Chelsea gol pendahuluan pada minit ke-48 yang juga gol pada tiga perlawanan berturut-turut untuk pemain berusia 36 tahun itu, termasuk ketika membantu The Blues seri 1-1 menentang Manchester United dalam perlawanan liga di Old Trafford, Ahad lalu.

Namun, pendahuluan itu dikikis Shrewsbury menerusi jaringan Andy Mangan ketika permainan berbaki 13 minit untuk ditamatkan.

Nemanja Matic dan Willian dimasukkan untuk menambahkan sengat dan jelas hantaran Willian mencemaskan benteng lawan dengan Jermaine Grandison yang kalut menolak masuk bola ke dalam gawang sendiri.

“Ia satu gelanggang yang sukar dan cuaca juga menganggu permainan kami,” kata Drogba.

“Lawan kami jelas satu pasukan yang hebat dan mereka membuktikan kenapa mereka mampu layak ke tahap ini.”

Dalam perlawanan lain, Derby County bangkit daripada ketinggalan 2-0 sebelum menang 5-2 mengatasi Fulham manakala Sheffield United menewaskan Milton Keynes Dons 2-1. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.