Chee Heng berkata, UMNO telah berbakti kepada ramai pihak termasuk keluarga beliau yang susah suatu ketika dahulu dan jasa yang ditabur UMNO sekian lama tidak mungkin dapat dibalas.

Jelas Chee Heng adalah tidak wajar melabelkan keseluruhan ahli UMNO dan parti itu sebagai pencuri dan penyamun hanya disebabkan oleh perbuatan beberapa orang ahli dalam parti tersebut.

“Saya bangun pagi dan terbaca luahan cik Siti Kasim yang mengatakan bahawa kalau dibiarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menang ia akan menjadi UMNO. Tak apalah, kalau menang atau kalah itu izin Tuhan dan percaturan Tuhan.

“Yang saya terkilan sikit dengan kata cik Siti Kasim itu adalah pandangan beliau yang memburukkan UMNO. Masa UMNO lahir cik Siti Kasim belum dilahirkan lagi. Saya dari keluarga sangat susah dan dari mula kami adik beradik dapat bantuan dari Khir Johari Fund,” kata Chee Heng dalam satu hantaran di Facebook pagi ini.

Siti Kasim sebelum ini membantah keras Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson

diadakan semata-mata untuk membawa Anwar yang juga Presiden PKR ke dalam Parlimen.

Aktivis masyarakat tersebut turut menghantar surat kepada Pejabat Peguam Negara untuk memastikan sama ada Anwar yang pernah dihukum penjara layak untuk bertanding dalam pilihan raya.

Siti Kasim sebelum ini dalam satu kenyataan kepada sebuah portal berita berkata, tindakan Anwar itu akan menyebabkan akan lahir satu lagi ‘UMNO’.

“Saya tak kata dalam UMNO itu semua baik. Ada penyangak juga dan ada yang sombong bodoh. Ada yang kartun. Lumrah hidup manusia. Tapi seburuk buruk segelintir yang kecil, UMNO telah banyak berjasa dalam pembangunan negara Malaysia.

“Cuba tanya Tun (Dr. Mahathir Mohamad) berapa Cina dan Melayu Tun telah bantu semasa beliau berada dalam UMNO? Berapa orang yang telah di bimbing oleh Tun semasa dalam UMNO sehingga menjadi jutawan?” kata Chee Heng.

Chee Heng merupakan Pengerusi Persatuan Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia yang melakukan kerja amal membantu masyarakat susah.

Antara lain beliau memperkenalkan Rumah RM1 bagi membantu keluarga pesakit yang memerlukan tempat bermalam untuk menyewa tempat berteduh semalam dua dengan harga RM1 sehari.

Malahan beliau turut menyediakan kereta sewa dan ambulan kepada mereka yang memerlukan dengan kadar sewaan 10 sen.

“Kepada mereka yang berada dalam UMNO tabah dan teruskan perjuanganmu. Jangan kerana kalah kamu terus tak berkhidmat kerana ganjaran terakhir dan bonus segala bonus kerja mu adalah di akhirat nanti.

“Biar orang menghinamu, meninggalkanmu tetapi yang penting Allah Maha Mengetahui segalanya. Selamat bersidang dan jagalah negaramu, martabatmu dengan tertib. Tuhan akan sentiasa bersama dengan mereka yang yakin kepadaNya,” kata Chee Heng.

Bermula hari ini sehingga esok UMNO akan melangsungkan Persidangan UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Hari ini turut berlangsung hari penamaan calon bagi PRK Port Dickson di Negeri Sembilan. – UTUSAN ONLINE