Sultanah Terengganu Tuntut Sarawak Report Mohon Maaf dan Bayar Ganti Rugi RM100 Juta

PETALING JAYA – Sultanah Terengganu Sultan Nur Zahirah telah menghantar surat tuntutan kepada pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Recastle-Brown dan dua pihak lagi, untuk menuntut permohonan maaf bertulis serta ganti rugi RM100 juta daripada setiap mereka berhubung kenyataan fitnah dalam buku ‘The Sarawak Report:The Inside Story of the 1MDB Expose’.

Peguam Datuk Mohd Haaziq Abdullah, yang mewakili Sultanah Terengganu, berkata surat tuntutan itu telah diserahkan kepada Recastle-Brown, penerbit tempatan Gerakbudaya Enterprise dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd pada Khamis dan mereka diberi masa lapan hari mulai 27 September untuk membuat penarikan balik secara bertulis yang jelas dan permohonan maaf bertulis dalam terma yang dipersetujui oleh peguam baginda.

Beliau berkata Recastle-Brown perlu membuat akujanji untuk tidak mengulangi kenyataan itu dan syarikat terbabit juga dikehendaki menarik balik buku berkenaan yang mengandungi kenyataan fitnah terhadap baginda, daripada penjualan dan pengedaran.

“Tindakan undang-undang ini tidak ada kaitan dengan buku Recastle-Brown tentang 1MDB. Kami hanya memberi perhatian kepada muka surat tiga buku itu yang mengandungi kenyataan fitnah,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan di sebuah hotel di sini hari ini.

Peguam itu menegaskan surat tuntutan itu dihantar kepada ketiga-tiga pihak berkenaan bagi melindungi integriti dan kepentingan baginda serta memelihara nama baik Institusi Diraja Terengganu,” katanya.

Beliau berkata kenyataan itu dianggap fitnah oleh sebab baginda tidak pernah campurtangan dalam hal ehwal kerajaan.

Mohd Haaziq berkata anak guamnya menuntut ganti rugi RM100 juta dan apa-apa award yang diputuskan oleh mahkamah akan disumbangkan kepada badan amal.

Mengenai pernyataan maaf Recastle-Brown yang dimuatkan dalam laman sesawang Sarawak Report pada Khamis, Mohd Haaziq berpendapat ia bukanlah permohonan maaf.

“Saya ulangi… ia bukanlah permohonan maaf. Kesilapan telah terkandung dalam buku itu dan saya ingin menyatakan bahawa apa yang dikatakan sebagai maaf ini dibuat hanya selepas kami memulakan tuntuan dan ia bukanlah permohonan maaf yang jelas,” katanya.

Beliau berkata jika ketiga-tiga pihak itu akur dengan surat tuntutan yang dihantar kepada mereka, Sultanah Nur Zahirah tidak akan memfailkan tindakan undang-undang terhadap mereka.

Ditanya sama ada Sultanah Terengganu pernah berjumpa Jho Low, beliau menjawab: “Tidak pernah” Mohd Haaziq berkata anak guamnya mendapat tahu tentang perkara itu selepas baginda membaca buku berkenaan dan pada 14 September, Istana Terengganu mengarahkan Mohd Azmi untuk membuat laporan polis.

Turut hadir dalam sidang akhbar itu ialah Mohd Azmi, dan peguam Datuk Suraj Singh. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.