Polis Beri Amaran Kepada Ahli PKR, Jangan Langgar Undang-Undang

JOHOR BAHRU – Polis Johor hari ini memberi amaran kepada semua anggota PKR Johor yang terlibat dalam proses pemilihan parti esok agar tidak melakukan perkara yang melanggar undang-undang.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas kepada mereka yang gagal mematuhi undang-undang.

Katanya, pihak polis akan membuat pemantauan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

“Kita juga telah berurusan dengan pihak PKR dan semua Ketua Polis Daerah telah diarah untuk mengambil maklum mengenai pemilihan itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya juga akan mengambil tindakan sekiranya berlaku sesuatu perkara yang di luar jangka seperti kekecohan yang berlaku ketika pemilihan di negeri-negeri lain baru-baru ini.

Tambahnya lagi, anggota polis akan membuat pemantauan secara umum kerana tiada anggota khas ditugaskan di pusat pengundian esok.

Seramai 38,684 anggota PKR Johor yang layak mengundi dijangka akan keluar memilih tampuk kepimpinan parti di semua 24 cabang.

Pada pemilihan kali ini, seramai 53 calon akan merebut jawatan ketua cabang manakala seramai 163 calon menawarkan diri bertanding timbalan ketua cabang, naib ketua cabang dan anggota jawatankuasa cabang.

Pada 22 Sept lalu, polis menahan 4 lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 40-an selepas berlaku kekecohan hingga menyebabkan kecederaan semasa pemilihan PKR Cabang Merbok di Sungai Petani, Kedah.

Ia berikutan sistem pengundian di cabang itu tidak lancar menyebabkan sistem pengundian tergendala dan berjalan terlalu perlahan sehingga menimbulkan keresahan dan berlaku salah faham antara petugas dan anggota yang mengundi. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.