Mangsa Gempa Bumi dan Tsunami Di Indonesia Meningkat 384 Orang

JAKARTA – Angka kematian dalam kejadian gempa bumi susulan tsunami melanda Palu di pulau Sulawesi, Indonesia meningkat kepada 384 orang.

Menurut pihak berkuasa Indonesia, kebanyakan mangsa maut kerana dibawa ombak besar ketika masih berada di pantai.

Gempa susulan yang kuat terus melanda bandar pantai pada pagi Sabtu selepas gelombang sehingga enam meter (18 kaki) tinggi berlaku pada Jumaat yang dicetuskan oleh gempa bumi 7.5 magnitud di daratan.

“Ketika ancaman tsunami yang terjadi semalam, orang masih melakukan kegiatan di pantai dan tidak segera lari menyelamatkan diri menyebabkan mereka menjadi korban,” kata Sutopo Purwo Nugroho, jurucakap Agensi Bencana Indonesia (BNPB) kepada media di Jakarta.

Ratusan orang berada di pantai bagi mempersiapkan sambutan festival pantai sempena ulang tahun bandar Palu yang bermula pada Jumaat malam.

Beberapa mangsa sempat memanjat pokok setinggi enam meter (18 kaki) untuk melarikan diri dari tsunami dan selamat, kata Nugroho.

Gambar-gambar yang dikongsikan pihak berkuasa menunjukkan mayat mangsa-mangsa yang maut dikumpulkan sepanjang jalan dengan badan mereka ditutupi dengan kain.

BNPB berkata seramai 540 dilaporkan cedera yang kebanyakannya ditemui terperangkap di bawah runtuhan bangunan runtuh. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.