Mahkamah Yang Penjarakan Anwar, Bukan Saya – Mahathir

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, beliau tidak seharusnya dipersalahkan terhadap hukuman penjara yang dijatuhi ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana itu adalah keputusan mahkamah.

Perdana Menteri membuat penegasan itu dalam temubual bersama The Wall Street Journal di New York, ketika diajukan pertanyaan sama ada berasa kesal terhadap tindakan undang-undang yang diambil terhadap bakal Presiden PKR itu pada tahun 1990-an, yang membawa kepada sabitan dan hukuman penjara.

“Saya tidak pasti mengenai penyesalan, tetapi pada masa itu ia diputuskan di mahkamah. Perbicaraan berlangsung selama sembilan bulan. Pelbagai bukti ditunjukkan, kemudian mahkamah membuat keputusan.

“Itu bukan keputusan saya! Ada pihak yang mahu menyalahkan saya walaupun saya tidak masuk campur dalam urusan mahkamah,” katanya.

Dr Mahathir menegaskan yang beliau boleh sahaja menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang ketika itu masih berkuat kuasa dan membenarkan kerajaan menahan individu tanpa perbicaraan.

“Tetapi saya tidak melakukannya, beliau (Anwar) sebaliknya dibicarakan di mahkamah,” katanya.

Dr Mahathir berkata, pengkritiknya mahu mempolitikkan hukuman penjara Anwar.

“Saya bukanlah pemimpin yang disenangi barat, kerana seorang yang kritikal terhadap sebarang kesalahan dilakukan di tempat lain (merujuk kepada kritikannya terhadap Israel).

“Maka apabila mereka mempunyai sebab untuk menyalahkan saya, mereka akan melakukannya,” katanya yang kini bekerjasama dengan Anwar dalam Pakatan Harapan (PH), yang mencatatkan kemenangan menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Dalam manifesto PH, Anwar yang sudah memenangi jawatan Presiden PKR tanpa bertanding, bakal menggantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, kira-kira dua tahun lagi.

Ketika diajukan soalan sama ada pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri adalah perkara yang baik untuk Malaysia, Dr Mahathir berkata, itu adalah kemahuan rakyat.

“Rakyat mahukannya, apa yang saya suka tidak menjadi persoalan. Jika rakyat mahukannya, mereka akan menerimanya,” katanya.

Beliau juga menyentuh mengenai tempoh peralihan kuasa bagi membolehkan Anwar mengambil alih.

“Ramai yang menyebut dua tahun tetapi saya sepatutnya menjadi Perdana Menteri sementara. Ia mungkin dua tahun, mungkin setahun, mungkin tiga tahun, saya pun tidak tahu.

“Saya tidak tahu apa lagi yang boleh dikatakan, tetapi saya percaya selepas dua tahun, beliau akan mengambil alih daripada saya,” katanya ketika diminta mengulas dengan lebih lanjut.

Dr Mahathir menegaskan beliau beliau mempunyai hubungan yang baik dengan Anwar.

“Beliau nampaknya seorang yang baik, datang bertemu saya dan kami banyak berbicara. Kami tidak menyentuh hal lampau kerana sudah bersetuju perkara itu sudah berlalu. Kami tidak boleh menoleh ke belakang, sebaliknya perlu memandang ke hadapan,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.