VIDEO: Kehadiran Pemimpin PAS Di PAU2018 Disambut Laungan Takbir

KUALA LUMPUR: Kehadiran pemimpin PAS ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di Dewan Merdeka malam ini disambut ahli dan pemimpin UMNO dengan tepukan gemuruh serta laungan “takbir”. 

Rombongan yang diketuai Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man itu sebagai membalas keterbukaan pemimpin UMNO menghadiri Muktamar PAS di Terengganu, dua minggu lalu.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan; Naib Presidennya, Dr Idris Ahmad dan Datuk Iskandar Abdul Samad; Ketua Dewan Muslimat, Nuridah Mohd Salleh dan Ketua Pemudanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Pada 15 September lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghadiri perasmian Muktamar PAS ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus.

Ahmad Zahid turut disertai Setiausaha Agung UMNO; Tan Sri Annuar Musa, Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; dan Ketua Penerangan, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Hubungan ‘intim’ antara kedua-dua parti yang bermula di PRK Sungai Kandis ituberterusan sekaligus menimbulkan cakap-cakap kononnya bakal bergabung.

Bagaimanapun pimpinan kedua-dua parti sebelum ini menyatakan ia bukan ke arah menggabungkan dua parti, sebaliknya, ia lebih bersifat kerjasama antara blok pembangkang dalam memberi teguran kepada kerajaan PH dalam isu kepentingan bersama khususnya Islam dan Melayu serta menguntungkan rakyat. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.