Anifah Aman Belum Fikir Parti Baharu

KOTA KINABALU: Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menegaskan beliau belum memikirkan untuk menyertai mana-mana parti bagi meneruskan perjuangan politik beliau setakat ini.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Kimanis itu berkata, beliau mahu berehat panjang daripada politik selepas membuat keputusan keluar UMNO pada 19 September lalu.

“Setakat ini tiada perkembangan lagi, saya masih mahu berehat panjang dan kalau adapun nanti, saya akan panggil untuk buat kenyataan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan bercakap lanjut berhubung rancangannya selepas berehat nanti termasuk kemungkinan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu sebelum ini mengesahkan keluar parti atas kerelaan sendiri, kurang 24 jam selepas seorang lagi MT iaitu Datuk Seri Mustapa Mohamed mengambil tindakan sama.

Anifah menjelaskan keputusan meninggalkan UMNO itu dibuat sejak lama dahulu dan bukannya bersama Datuk Seri Mustapa Mohamad.

Sebelum mengumumkan keputusan meninggalkan parti, Anifah pernah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau akan membantu memperoleh sokongan daripada Ahli Parlimen pembangkang sekiranya kerajaan persekutuan bersetuju memulihkan status Sabah dan Sarawak mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata demikian ketika mengulas ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad pada sambutan Hari Malaysia Ke-55, bahawa kerajaan akan mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak, berbanding negeri dalam Malaysia.

Anifah berkata, sebagai anak Sabah, beliau teruja kerana selama ini ia adalah tunjang perjuangan pemimpin dua negeri terbabit.

Beliau juga sebelum ini pernah mengancam keluar parti jika kerajaan persekutuan gagal memenuhi syarat di bawah MA63 selepas beberapa kali berjanji untuk berbuat demikian ketika Barisan Nasional (BN) masih memegang tampuk pemerintahan negara. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.