Sultan Selangor Lantik Mohammad Adib Sebagai Ketua Hakim Syarie

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan menyerahkan watikah pelantikan kepada Mohammad Adib Hussain, 49, sebagai Ketua Hakim Syarie Selangor, di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.

Pelantikan itu yang berkuatkuasa pada 3 Julai lalu dibuat mengikut Seksyen 56 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003.

Sultan Sharafuddin yang berangkat mencemar duli dalam majlis itu turut melantik Saarani Ismail, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Mohd Amran Mat Zain sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Selangor, lapor sebuah laman portal.

Turut menerima pelantikan ialah Zulfikri Yasoa dan Abdul Shukor Abd Hamid selaku Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.

Seramai tujuh orang pula dilantik oleh baginda sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah Selangor iaitu Mohd Husni Mohd Said, Mohd Syafiq Ibrahim, Rashidah Sapingi @ Shafie, Mohd Taufik Kamarudin, Mazrul Anis, Siti Aminah Kamal dan Noranizan Mohd Sufian.

Manakala Naseha Omar, Nurzihidaya Musleh, Zuraida Hamzah dan Muhammad Faizal Abdullah pula menerima pelantikan sebagai Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah Selangor.

Turut hadir adalah Exco Kerajaan Negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr Ahmah Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.