Mawi Bakal Jadi Penyampai Radio

KUALA LUMPUR: Juara Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), Mawi, bakal bertugas sebagai penyampai radio bermula Oktober depan.

Penyanyi yang turut bergelar usahawan itu akan menyertai sebuah stesen radio berteraskan gaya hidup Muslim kontemporari, menerusi frekuensi 104.9 fm.

Kata Mawi, tawaran menjadi penyampai beberapa stesen radio sudah diterima beliau sejak 2015. Namun, ketika itu kesibukan memenuhi undangan nyanyian menghalang minat beliau di arena penyiaran.

“Sebelum menyertai AF3 lagi saya pernah menjadi juruhebah di pasar raya, kedai makan dan kenduri-kendara sekitar Johor. Saya ingatkan, selepas menyertai program realiti itu, saya dapat kembangkan lagi bidang sama seperti dilakukan Nana Mahazan dan beberapa teman lain.

“Apakan daya, rezeki saya ketika itu lebih menyerlah dalam nyanyian. Justeru, peluang yang datang ini saya ibaratkan seperti merealisasikan kembali impian saya satu waktu dulu,” katanya yang turut mengasah bakat dalam lakonan.

Menurut Mawi, stesen radio yang bakal disertainya itu mensasarkan kelompok pendengar berusia antara 18 hingga 34 tahun.

Katanya lagi, tawaran terbabit juga menjadi antara sebab dirinya tidak menyertai pertandingan AF Megastar yang menghimpunkan bekas pemenang dan peserta rancangan realiti itu.

“Bagi menyertai sesuatu pertandingan, banyak juga tekanannya. Memasuki Anugerah Juara Lagu pun satu tekanan besar, apatah lagi konsert bercorak pertandingan yang diadakan pada setiap minggu seperti AF.

“Saya juga rasakan, apa yang saya lalui pada 2005 hingga wujud fenomena ‘tsumawi’ takkan berulang lagi. Jadi, saya mahu nikmati apa yang saya lalui sekarang seperti biasa. Begitupun saya tabik pada bintang AF yang menyertai pertandingan berkenaan dan berjaya bolos pada AF Megastar,” katanya.-bharian

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.