Kekurangan Buruh Asing Di Cameron Highlands Serius – Tengku Abdullah

Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu Majlis Daerah Cameron Highlands dan Jabatan Imigresen Malaysia mencari satu mekanisme bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja asing dalam sektor perladangan dan pertanian di kawasan itu.

Titah baginda kelompangan tenaga kerja yang terhasil susulan Op Gading secara besar-besaran baru-baru ini perlu diisi segera menerusi satu formula ‘menang-menang’, bagi membolehkan mereka yang menerima tanah lesen pendudukan sementara (TOL) diberi kelonggaran mendapatkan tenaga buruh asing untuk memajukan tanah pertanian mereka.

“Memang serius (masalah kekurangan pekerja asing) bukan sahaja di tanah-tanah yang diceroboh sebelum ini tetapi juga kawasan-kawasan perladangan teh dan strawberi yang sebelum ini menggunakan pekerja asing.

“Kita perlu faham Cameron Highlands merupakan kawasan pengeluaran sayur dan buah-buahan yang bermutu tinggi, bukan sahaja untuk kegunaan dalam negara tetapi juga luar negara. Bayangkan jika kita tidak mempunyai tenaga kerja, berapa banyak yang kita rugi,” titah baginda di Cameron Highlands hari ini.

Baginda bertitah demikian kepada pemberita selepas berangkat menghadiri Taklimat Kemajuan Operasi Pembanterasan Penerokaan Tanah Cameron Highlands yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Titah baginda sektor perladangan dan pertanian di kawasan itu dianggar memerlukan lebih 1,000 tenaga kerja asing untuk memastikan pengeluaran sayur, buah-buahan, dan bunga tidak terjejas.

Pada masa sama baginda menzahirkan rasa puas hati terhadap tindakan yang diambil oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang berjaya membanteras masalah pencerobohan tanah secara haram untuk tujuan pertanian di kawasan itu menerusi Op Gading.

“Alhamdulillah semua dapat dibendung dan dikawal dengan baik, sehingga kini dan tidak ada lagi pencerobohan secara besar–besaran, namun saya menekankan supaya operasi ini diteruskan dan kawasan ini sentiasa diawasi daripada pencerobohan haram.

“Kita juga dalam proses untuk memulihkan dan menghijaukan semula kawasan yang terlibat dengan memberikan tanah TOL kepada mereka yang berhak terutama yang mengharapkan hasil pertanian ini untuk menyara keluarga mereka,” titah Tengku Abdullah.

Baginda memaklumkan setakat ini kerajaan negeri telah meluluskan lebih 1,200 lesen TOL daripada 2,000 permohonan yang diterima manakala selebihnya dalam proses kelulusan.

Selain itu Tengku Abdullah turut mengingatkan penduduk dan petani di Cameron Highlands termasuk di Lembah Bertam supaya sentiasa menjaga kebersihan kawasan peranginan tersebut.

“Saya tak mahu lihat ada sampah di dalam kolam, di dalam parit atau di tepi jalan. Kita kena pastikan kawasan sekitar sentiasa bersih tanpa mengharapkan pihak majlis daerah sahaja yang membuat kerja-kerja pembersihan. Jangan hanya mengharapkan kerajaan, ini tanggungjawab semua.

“Saya tidak mahu orang kata Cameron Highlands ini dituduh kotor kerana dari sinilah datangnya sumber makanan iaitu sayur serta bunga untuk kegunaan dalam negeri dan juga dieksport ke luar negara.

 

“Kalau boleh saya mahu kawasan ini menjadi daerah terbersih di negeri ini sebab itu kerajaan mempromosikan program Mybeautiful Cameron Highlands dalam usaha untuk tarik lebih ramai pelancong ke kawasan ini,” titah baginda.

Menurut baginda Pahang bertuah kerana dikurniakan dengan pelbagai khazanah alam semula jadi seperti pulau, tasik dan kawasan peranginan tanah tinggi yang boleh mendatangkan sumber ekonomi penduduk dan ia seharusnya dijaga agar terus kekal sehingga generasi akan datang.- Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.