Joyah Vegas Lawan Mak Cun Dalam Telefilem Terbaru

PETALING JAYA: Pengarah terkenal, Erma Fatima, berjaya memujuk rakyat Malaysia yang bermastautin di Las Vegas, Joyah Vegas, untuk membintangi telefilem terbarunya, Mak Cun vs Joyah Vegas.

Katanya, telatah wanita berasal dari Johor berusia 51 tahun yang gila-gila dan ceria itu cukup sesuai untuk menjadi ‘saingan’ kepada watak Mak Cun lakonan beliau.

“Saya memang berniat nak singgah di Las Vegas untuk bertemu dengannya selepas berada di New York bagi menjayakan pertunjukan fesyen di Times Square pada 6 September lalu.

“Awalnya, saya tertarik dengan kisah hidupnya yang pernah hidup susah dan kini memiliki 10 pangsapuri di Las Vegas. Saya mahu menjadikan ceritanya itu sebagai drama bersiri. Tetapi, watak Joyah dalam siri itu nanti akan dibawakan pelakon lain.

“Sepanjang tiga hari tinggal di kediamannya di sana dan mendengar kisah silam Joyah, saya terus mendapat idea mengajaknya berlakon. Jadi, kami akan kembali semula ke Amerika Syarikat pada hujung tahun ini bagi pembikinan Mak Cun vs Joyah Vegas,” katanya.

Erma berkata demikian pada sesi perkongsian pengalaman Mak Cun ke Couture Fashion Show New York di Sri Pentas, di sini, petang tadi.

Joyah atau nama sebenarnya Pon Jumat ialah wanita Malaysia yang mempunyai sejarah hidup menarik, malah dikenali rakyat tempatan yang berkunjung ke Las Vegas.

Terdahulu, akui pengarah itu lagi, selain mengadakan penggambaran telefilem terbabit dan melangsaikan pembikinan siri baharu Mak Cun, pasukannya juga diundang mengadakan pertunjukan fesyen Muslimah di Beverly Hills, California, Disember depan.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.