Jari Kelingking Awie Dimasukkan Besi

KUALA LUMPUR: Padah ‘merawat’ sendiri jari kelingking yang cedera akibat terlanggar objek, penyanyi rock, Datuk Awie dinasihatkan doktor berehat sebulan.

Dimasukkan dua besi bagi menyokong jari pada tangan kanan itu, Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 46, berkongsi insiden jarinya ‘terkepak’ hingga kebas, baru-baru ini.

“Saya terasa jari kelingking sakit apabila terlanggar sesuatu objek dan kedudukannya berubah.

“Tidak memikirkan sebarang kemungkinan buruk, saya membetulkan sendiri kedudukan jari berkenaan. Ketika itu, jari kebas dan saya tak rasa apa-apa,” katanya kepada BH Online.

Menyedari keadaan tidak pulih, Awie bergegas mendapatkan rawatan di salah sebuah hospital swasta, di sini.

“Doktor memasukkan dua besi bagi memperbaiki kedudukan yang berubah itu. Mungkin saya perlu lebih berhati-hati pada masa akan datang kerana menyedari usia tidak lagi seperti dulu,” katanya yang dimasukkan ke wad selama tiga hari.

Awie memberitahu, doktor memintanya berehat sebulan agar jari kelingkingnya itu pulih sepenuhnya.

“Biarpun diberi cuti sebulan, komitmen kerja padat. Saya ada persembahan pada Sabtu dan Ahad ini. Kalau boleh, saya tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak,” katanya.

Vokalis Wings itu memberitahu, dia pernah berhadapan situasi sama apabila tangan kirinya cedera ketika bersilat sambil mendendangkan lagu Taming Sari dalam satu persembahan.

Mengambil iktibar dengan insiden yang menimpa, Awie mahu lebih berhati-hati supaya kejadian sama tidak berulang.

-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.