Gunung Sinabung Meletus Di Sumatera

KARO, Sumatera Utara – Sebuah gunung ‘berapi maut’ di Indonesia tiba-tiba meletus ketika orang ramai menantikan letusan Gunung Agung di pulau peranginan Bali.

Gunung Sinabung di Sumatera Utara menghamburkan abu setinggi 2.5 kilometer ke udara ketika ia meletus pada pukul 1.23 petang (waktu tempatan) kelmarin.

Beribu-ribu penduduk kampung di kaki gunung berapi itu telah dipindahkan dan diberi amaran supaya tidak berada dalam radius sekurang-kurangnya 7 kilometer.

Sinabung merupakan gunung berapi paling aktif antara 130 gunung berapi di Indonesia.

Pihak berkuasa bimbang lahar akan mengalir turun dan memusnahkan kediaman penduduk seperti yang berlaku beberapa kali sebelum ini.

Gunung itu meletus pada bulan lalu dan memuntahkan abu setinggi 4.2 kilometer ke udara dan mencetuskan aliran piroklas beberapa kilometer ke kawasan sekitarnya.

Pada awal tahun ini, 10 orang maut dalam satu lagi letusan Sinabung dengan angka korban mencecah 20 sejak sedekad lalu termasuk empat pelajar sekolah tinggi dan guru mereka yang sedang melakukan lawatan anjuran sekolah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.