‘Azmin Berdolak Dalik, Tiada Pendirian’

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali diminta memberi kata putus berhubung penganjuran festival makanan dan minuman yang turut membabitkan minuman keras di negeri itu.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Zein Isma Ismail berkata, sebagai pemimpin beragama Islam, Azmin tidak sepatutnya berdolak-dalik dalam isu itu.

“Kalau beliau kata jangan buat, sudah pasti semua pihak akan akur dengan keputusannya tetapi beliau sendiri berdolak-dalik tiada pendirian berhubung perkara itu,” katanya seperti dilapor BH Online hari ini.

BH Online hari ini memetik Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Datuk Mohamad Yasid Bidin, sebagai berkata pihaknya membenarkan penganjuran “Centro Mall German Food & Baverage Festival” selepas penganjur mematuhi syarat ditetapkan.

Sebelum ini permohonan itu ditolak berikutan beberapa syarat tidak dipatuhi penganjur.

Antaranya penganjur perlu mendapatkan lesen menyediakan minuman keras daripada Pejabat Tanah dan Daerah Petaling serta pengesahan polis.

Selain itu, MPK juga mengenakan syarat utama iaitu orang Islam tidak dibenarkan menghadiri festival yang dirancang pada 12 dan 13 Oktober ini.

Zein Isma berkata, beliau tidak tidak mempersoalkan keputusan MPK memberikan kebenaran terhadap acara itu kerana mereka hanya menjalankan tugas jika ada permohonan dibuat.

“Apa yang kita persoalkan Azmin Ali seorang menteri besar beragama Islam, sepatutnya melihat sensitiviti penduduk majoriti iaitu umat Islam. Jangan guna politik untuk menghalalkan semua perkara.

“Beliau kena tunjuk satu ketegasan bahawa (pesta sedemikian) tidak boleh dibuat seperti keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta kenyataan tegas Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi),” katanya.

Zein Isma mendakwa kenyataan Azmin menyerahkan perkara itu kepada PBT, bermakna beliau terbabit secara langsung dan tidak langsung terhadap penganjuran acara itu.

Semalam, Bendahari PAS, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali mengemukakan memorandum kepada Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) bagi mendesak supaya pihak berkuasa itu menolak sebarang permohonan acara berkaitan arak.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain berkata acara itu adalah Oktoberfest 2017 yang telah berlangsung sejak lima tahun lalu.

Katanya, MBPJ belum membuat keputusan kerana penganjur tidak mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan.-Malaysiakini

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.