Waris Desak Terus Siasat Kenal Pasti Dalang Tembak Jatuh Pesawat MH17

IPOH — Waris mangsa tragedi Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 mahu pihak yang bertanggungjawab meneruskan siasatan bagi mengetahui dalang sebenar yang menyebabkan pesawat itu terhempas dan meragut nyawa kesemua 298 penumpang serta anak kapal.

 

Bagi Norlin Mohd Noor, 49, beliau masih tidak berpuas hati dan ingin tahu siapa sebenarnya yang menembak pesawat itu sehingga mengorbankan kakaknya Noor Rahimmah serta penumpang yang lain.

 

“Siasatan perlu diteruskan sehingga ke akar umbi untuk mengetahui siapa sebenarnya yang menembak pesawat itu. Fikiran saya masih dihantui kenapa kapal terbang itu ditembak kerana orang kita yang kita sayang ada di dalam pesawat.

 

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana laporan interim oleh Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) hari ini dapat memberi sedikit maklumat kepada saya mengenai bagaimana tragedi itu berlaku,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Tambun di sini semalam.

 

Noor Rahimmah merupakan seorang daripada 44 rakyat Malaysia yang terkorban dalam nahas itu dan pernah bertugas sebagai setiausaha di Kedutaan Malaysia di Jerman selain penterjemah di Geneva, Switzerland.

 

Pesawat MH17 ditembak semasa berada pada ketinggian 30,000 kaki dan terhempas di kawasan Ukraine yang bergolak dekat sempadan Rusia apabila ditembak jatuh di ruang udara di timur Ukraine pada 17 Julai, 2014.

 

Dalam pada itu, Norlin yang merupakan adik bongsu mangsa berkata beliau dan keluarga mahu pihak yang bertanggungjawab mengenakan hukuman yang seadil-adilnya ke atas pihak yang terlibat kerana kejadian yang berlaku itu sangat kejam.

 

“Saya juga meminta rakyat di seluruh negara turut sama-sama sepakat untuk tampil ke hadapan dan memberi sokongan penuh kepada keluarga mangsa yang terlibat,” katanya.

 

Kumpulan penyiasat antarabangsa diketuai Belanda pada Rabu merumuskan bahawa pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh menggunakan pelancar peluru berpandu Buk yang dibawa dari Rusia ke Ukraine.

 

Ketua Jabatan Penyiasatan Jenayah Pusat Belanda, Wilbert Paulissen berkata sistem pertahanan peluru berpandu Buk itu kemudian diangkut balik ke Rusia selepas MH17 ditembak jatuh, mengorbankan kesemua orang yang berada di dalam pesawat. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.