Malaysia Di Kedudukan Baik Realisasi Negara Berpendapatan Tinggi Menjelang 2020

NEW YORK – Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk merealisasikan matlamat menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 meskipun berhadapan situasi ekonomi dunia semasa yang tidak menentu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin (Selasa di Malaysia).

 

Namun, Perdana Menteri berkata negara mesti sentiasa bersedia untuk menghadapi perubahan serta kejutan luaran yang di luar kawalan.

 

Bercakap pada Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Dunia (GSIAC) kelima di sebuah hotel di Manhattan di sini, Najib menegaskan bahawa asas ekonomi negara kukuh, dan ada petunjuk bahawa ekonomi negara berada pada jajaran yang tepat.

 

Beliau berkata tidak seperti krisis ekonomi Asia pada 1998 yang menyaksikan ekonomi menguncup dengan negatif tujuh peratus, ekonomi dijangkakan berkembang pada kadar lima peratus.

 

Najib berkata berdasarkan pengalaman daripada krisis 1998, kerajaan berjaya mengurangkan defisit fiskal daripada negatif 6.7 peratus pada 2009 kepada 3.2 peratus tahun ini.

 

“Oleh itu, sistem perbankan dan kewangan terus memiliki modal yang kukuh dan kecairan yang tinggi. Kadar pinjaman tidak berbayar dan inflasi, rendah dan boleh diurus,” katanya.

 

Beliau turut memetik kejayaan dasar negara, khususnya Dasar Transformasi Negara yang mendorong kepada penurunan kadar kemiskinan kepada hanya 0.6 peratus pada 2014.

 

Najib berkata kira-kira 1.8 juta pekerjaan diwujudkan sejak pelancaran Program Transformasi Ekonomi pada 2010.

 

Pada masa yang sama, Perdana Menteri berkata penarafan dan laporan oleh agensi kewangan antarabangsa seperti Fitch Ratings, Moody’s, Standard & Poor’s menggambarkan kedudukan sebenar pengurusan ekonomi semasa Malaysia.

 

Malaysia juga diletakkan pada ranking ke-12 daripada 60 negara dalam Buku Tahunan Daya Saing Dunia 2014.

 

“Kebajikan negara dan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” kata Perdana Menteri yang menambah bahawa keseimbangan perlu diwujudkan antara ekonomi modal dan ekonomi rakyat.

 

Beliau berkata ekonomi modal merujuk kepada pengurusan ekonomi dan dasar dari perspektif makro, ekonomi rakyat bertumpu kepada isu-isu yang menjejaskan kehidupan harian penduduk seperti kos hidup, pendapatan isi rumah, pekerjaan dan perniagaan selain keselamatan dan keamanan.

 

“Kita sudah berjaya merealisasikan kesemua ini kerana kita tidak pernah gagal menilai prestasi secara terbuka dan telus, dan membuat perubahan yang diperlukan,” kata Najib.

 

GSIAC diilhamkan oleh Najib pada 2011 sebagai sebahagian daripada usahanya untuk mentransformasikan Malaysia daripada negara berpendapatan sederhana kepada ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.

 

Mesyuarat itu antara lain dihadiri Penasihat Sains kepada Perdana Menteri Tan Sri Zakri Abdul Hamid, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sains New York, TC Westcott, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Sri Abdul Wahid Omar dan Menteri Besar Johor Datuk Seri Khalid Nordin. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.