Strategi ‘Seorang Untuk Seorang’

Incheon – Walaupun berdepan misi sukar untuk merebut slot ke peringkat akhir Sukan Asia ke-17, skuad hoki negara tidak gentar menghadapi Pakistan selaku penyandang juara Sukan Asia edisi Gungzhou, China pada pertemuan separuh akhir yang akan berlangsung di Stadium Hoki Seonhak, Selasa nanti.

Skuad hoki kebangsaan terpaksa melupakan seketika detik hitam yang dilalui empat tahun lalu, apabila Pakistan merampas peluang negara untuk menamatkan kemarau penantian pingat emas selama 56 tahun, dengan menyingkirkan Malaysia menerusi mata kemenangan 2-0 pada aksi final.

Kekalahan di tangan Pakistan pada 2010 itu juga adalah pencapaian terbaik skuad hoki lelaki negara di temasya empat kali setahun itu.

Malaysia selaku naib juara kumpulan A mengesahkan tiket ke separuh akhir, selepas membelasah Jepun 4-1 pada aksi pelengkap peringkat kumpulan di venue sama, pada Sabtu.

Jurulatih skuad hoki kebangsaan, Arul Selvaraj, berkata pasukannya akan membuat persiapan seperti biasa dan akan mengkaji corak permainan serta kelebihan pasukan lawan.

“Masa akan menentukan sama ada menang atau kalah…ia bermakna kejayaan bergantung kepada perasaan, tahap keyakinan dan semangat berpasukan yang lahir dalam diri setiap pemain, sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke padang,” katanya pada Ahad.

Arul berkata, Pakistan mempunyai ramai pemain individu hebat dan beliau akan menggunakan pendekatan ‘seorang untuk seorang’, bagi mengatasi kelebihan pemain Pakistan yang dikenali mampu melancarkan serangan tajam menerusi gerakan individu.

Ditanya sama ada kejayaan di Sukan Asia, Incheon penting dalam menentukan hala tuju skuad hoki negara untuk layak ke Olimpik, Rio De Janeiro di Brazil pada 2016 nanti, Arul berkata, beliau tidak memikirkan perkara itu, kerana apa yang lebih penting adalah mencapai misi di Incheon terlebih dahulu.

“Saya hanya beri tumpuan kepada kejohanan di Incheon terlebih dahulu, dan memikirkan bagaimana untuk kita mencapai misi dari satu langkah ke langkah berikutnya, kerana saya tidak mahu menjejaskan tumpuan pemain.

“Bila sampai di sini (Incheon), saya beri tumpuan bagaimana untuk mencapai misi pertama terlebih dahulu, sebelum beralih kepada langkah berikutnya, kerana kejayaan tidak akan dicapai, jika kita gagal sejak langkah pertama lagi dan itu adalah prinsip hidup saya,” katanya.

Sementara itu, kapten pasukan, Azlan Misrom, berkata beliau dan rakan-rakan telah mengkaji corak permainan Pakistan, sejak dari awal perlawanan.

“Tidak banyak kita tahu tentang mereka (Pakistan), kerana sudah lama kita tidak berdepan pasukan Pakistan. Kali terakhir jumpa pada perlawanan Liga Hoki Dunia di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru 2013,” katanya.

Azlan berkata, beliau dan rakan-rakan ada menonton beberapa perlawanan membabitkan pasukan Pakistan, bagi melihat corak permainan mereka.

“Kita lihat perlawanan membabitkan pasukan Pakistan sekejap sahaja, itu pun curi-curi tengok. Daripada pemerhatian, saya fikir kita perlu bersedia menerima serangan balas pasukan Pakistan,” katanya.

Jelasnya, dalam kesibukan mengatur serangan, Malaysia tidak boleh mengabaikan kepentingan jentera pertahanan, kerana bila-bila masa sahaja Pakistan mampu melakukan serangan individu.

Pada perlawanan separuh akhir yang dijadualkan berlangsung Selasa ini, pasukan Korea Selatan selaku juara kumpulan A turut beraksi merebut slot ke final, apabila berdepan naib juara kumpulan B, India.

Untuk rekod, Pakistan merupakan juara lapan kali Sukan Asia, sejak edisi Tokyo, Jepun pada 1958, sebelum Korea Selatan merampas gelaran juara pada Sukan Asia di Seoul 1986, edisi Hiroshima, Jepun 1994, Busan, Korea Selatan 2002 dan kali terakhir di Sukan Asia Doha, Qatar 2006.

India pula adalah juara dua kali Sukan Asia pada edisi Bangkok, Thailand 1966 dan 1988.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.