Kaji Semula Aspek Pembiayaan Rumah Mampu Milik Dalam Bajet 2015

Petaling Jaya – Bajet 2015, yang akan diumumkan pada 10 Okt, perlu mengkaji semula aspek-aspek pembiayaan bagi pembeli akhir untuk membeli rumah mampu milik.

Rakan Kongsi Urusan Chur Associate, Chris Tan Chur Pim berkata bank-bank pada masa ini tidak mempunyai kewajipan seperti pemaju yang dikehendaki memasukkan elemen kos rendah bagi pembangunan tanah lebih daripada 4.47 hektar.

“Boleh tak kita mempunyai cara yang lebih mudah untuk mengeluarkan pembiayaan bagi pemilikan rumah terutamanya pada harga mampu milik.

“Mungkin ada kuota tertentu dikenakan ke atas bank-bank untuk mewajibkan mereka mengeluarkan pinjaman bagi rumah mampu milik mengikut had atau menggesa mereka melakukannya bagi asas tanggungjawab sosial korporat,” katanya semasa taklimat mengenai Sidang Kemuncak dan Ekspo Pelaburan Hartanah (Prism) 2014 akan datang, di sini, Isnin.

Tan berkata skim pemaju tanggung kadar faedah (DIBS), yang dihapuskan tahun lepas bagi membendung spekulasi dalam sektor hartanah perlu diperkenalkan semula dalam Bajet 2015 khususnya bagi rumah mampu milik.

“Sekiranya DIBS dilaksanakan bagi rumah mampu milik, ia akan membolehkan pembeli terutamanya kumpulan berpendapatan rendah dikecualikan daripada membayar faedah sehingga mereka menerima kunci rumah mereka.

“Orang kebanyakan berhak dapat DIBS ini, orang kaya tidak layak,” katanya sambil menambah kerajaan harus menetapkan siling bagi rumah mampu milik.

“Adakah rumah mampu milik bermakna rumah berharga daripada RM500,000 ke bawah, RM400,000 ke bawah atau RM300,000 ke bawah?” tanyanya.

Siling perlu berbeza antara negeri, sebagai contoh di Kelantan, harga rumah mampu milik perlu lebih rendah memandangkan taraf hidup di sana, katanya.

Sementara itu, lebih 15,000 orang dijangka mengunjungi ekspo dua hari itu manakala 2,500 orang dijadualkan menyertai sidang kemuncak, bermula 1 Nov, yang akan diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia di Seri Kembangan.

Antara yang diketengahkan di persidangan itu ialah topik-topik mengenai prospek pasaran hartanah, analisis pasca bajet, kesan Cukai Barang dan Perkhidmatan dan strategi pelaburan. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.