Jemaah Haji Kemboja Dijangka Berlepas Bermula Esok

Sepang – Seramai 98 jemaah haji Kemboja yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak Khamis lalu dijangka dapat berlepas ke Jeddah, secara berperingkat bermula esok.

Ketua rombongan jemaah berkenaan, Ariffin Ismail, 45, berkata, jemaah berkenaan akan dibahagikan kepada tiga kumpulan dan berlepas secara berperingkat.

“Setelah perbincangan dilakukan dengan Malaysia Airlines (MAS) dan Saudi Airlines hari ini, akhirnya kata putus diberikan bahawa kami akan pergi secara berperingkat kerana tiada penerbangan yang boleh memuatkan kesemua 98 jemaah sekali gus.

“Pada jam 3 petang dan 8 malam esok masing-masing 25 dan 50 jemaah dijangka akan berlepas ke Jeddah melalui pesawat Saudi Airlines, manakala selebihnya iaitu 23 jemaah akan berlepas pada jam 3.25 petang Selasa melalui pesawat sama.

“Bagaimanapun, mengenai caj tambahan yang akan dikenakan kepada kami, perkara itu akan dibincangkan dengan pihak yang berkenaan selewat-lewatnya pagi esok,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan 98 bakal haji dari Kemboja terkandas di KLIA, di sini, selepas berlaku kesilapan tempahan tiket dari Kuala Lumpur ke Jeddah.

Jemaah itu tiba pada Khamis lalu menerusi dua penerbangan iaitu MH755 dan MH763 dan transit di KLIA dan sepatutnya meneruskan penerbangan ke Jeddah pada Jumaat lalu tetapi gagal berbuat demikian disebabkan kesilapan tiket penerbangan yang bukan ditempah sebagai penerbangan haji sebaliknya penerbangan biasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.