10 Pelajar Antara 96 Yang Ditahan Dalam Parti Liar

Kuala Lumpur – Seramai 96 orang, termasuk 10 pelajar ditahan, selepas polis menyerbu parti liar yang diadakan di sebuah kondominium di ibu negara.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy, dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai 78 lelaki dan 18 wanita, yang kesemuanya berbangsa Melayu, ditahan ketika polis menyerbu satu unit sewa di Blok B Kondominium Majestik, Jalan Kassipillay, Batu 2½ Jalan Ipoh, pada jam 5 pagi.

Mereka yang ditahan di rumah yang disewa pada harga RM390 semalam itu, dibawa ke Balai Polis Sentul untuk menjalani ujian air kencing.

Daripada jumlah itu, seramai 37 lelaki dan sembilan wanita didapati positif dadah.

Kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tiada barang yang dirampas dalam serbuan berkenaan.

Munusamy menasihatkan orang ramai, khasnya pelajar supaya tidak terbabit dalam aktiviti sedemikian.

“Parti berkenaan dianjurkan orang yang tidak bertanggungjawab untuk menggalakkan belia menagih dadah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.