Agong, Permaisuri berkunjung ke Sabah, Sarawak sempena Kembara Kenali Borneo bermula 3 September

- Advertisement -

KOTA KINABALU – Keterujaan menerima kunjungan pasangan diraja ke Negeri di Bawah Bayu bersempena Kembara Kenali Borneo menyaksikan pelbagai persiapan giat dilakukan bagi menjayakan acara julung kali itu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijadualkan berkunjung ke Sabah dan Sarawak pada 3 hingga 13 Sept ini.

Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) akan sentiasa memastikan jalan-jalan yang terlibat dalam laluan tersebut dalam keadaan baik dan selamat.

“Terdapat beberapa program yang akan dilaksanakan sepanjang jelajah berkenaan antaranya Al-Sultan Abdullah akan meninjau sendiri proses pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, di Lahad Datu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerima taklimat semua persiapan terutama berhubung keselamatan sepanjang Kembara Kenali Borneo oleh pegawai ESSCom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah).

ESSCom ditubuhkan pada 1 April 2013 susulan insiden pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo, Lahad Datu, pada awal tahun sama yang dipertanggungjawab menyelaras operasi pelbagai agensi keselamatan dalam memelihara keselamatan rakyat Sabah di ESSZone merangkumi kawasan perairan Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Lahad Datu adalah antara lokasi yang akan dikunjungi Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah semasa kembara itu.

Saifuddin Nasution berkata semua persiapan berjalan lancar dan mengikut perancangan Polis Diraja Malaysia diketuai Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain juga termasuk di peringkat Kontinjen Ibu Pejabat Polis Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah masing-masing.

“Semuanya berada dalam keadaan siap siaga. Kita doakan kembara berjalan lancar,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Penjara Lahad Datu daripada Kementerian Kerja Raya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Kembara Kenali Borneo memberi peluang kepada rakyat Sabah beramah mesra dengan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah yang akan memulakan jelajah itu di Tawau pada 3 Sept sebelum berakhir di Sipitang pada 7 Sept selepas mengunjungi Lahad Datu, Sandakan, Telupid, Ranau, Kundasang, Kota Kinabalu dan Penampang.

Seri Paduka berdua akan meneruskan jelajah kembara itu di Sarawak bermula 9 hingga 13 Sept. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat