ESSCOM Nafi Dakwaan Pelakon Hampir Diculik Ketika Penggambaran Di Sabah

KOTA KINABALU -Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menyifatkan kenyataan pelakon Hairul Azreen yang mendakwa hampir menjadi mangsa culik lanun ketika penggambaran filem PASKAL di kawasan Semporna, sebagai tidak berasas.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali, berkata sepanjang penggambaran filem itu di kawasan yang dirujuk sebagai pelantar Tun Sharifah Roziah (TSR), pelakon serta kru disertai oleh pasukan keselamatan terlatih iaitu Pasukan Khas Laut (PASKAL).

“Saya percaya tidak ada cubaan melakukan culik kepada mereka. Kenyataan itu mengundang persepsi negatif orang awam terhadap tahap keselamatan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

“Kenyataan pelakon ini juga amat mengelirukan walaupun ia mungkin hanya gimik promosi filem dan janganlah menggunakan kenyataan ini hanya untuk publisiti murahan bagi menarik minat penonton yang dijangka ditayangkan pada September depan.

“Setakat ini rekod menunjukkan tidak ada sebarang kejadian cubaan culik atau penculikan berlaku sepanjang tahun 2017 dan 2018 (di pantai timur Sabah),” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hazani meminta semua pihak supaya berhati-hati membuat kenyataan terutama yang membabitkan isu keselamatan negara.

“Tindakan undang-undang boleh diambil atas sebab menimbulkan kenyataan tidak benar serta mendatangkan kegusaran masyarakat dalam soal keselamatan dan ketenteraman awam terutama sekali di kawasan ESSZONE.

“Oleh itu, saya meminta kepada pelakon itu supaya tampil membuat laporan polis agar pihak ESSCOM dapat mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Sebelum ini Hairul Azreen mendakwa dia dan seorang lagi pelakon, Ammar Alfian nyaris menjadi sasaran lanun ketika penggambaran filem Paskal di Semporna, pertengahan tahun ini.

Hairul mendakwa, ketika kejadian, hanya dia dan Ammar yang masih berada di kawasan pelantar minyak selepas menyelesaikan beberapa babak sebelum ada rakan membisikkan pihak berkuasa sebenarnya sudah mendapat maklumat bahawa kumpulan lanun itu mahu menjadikan mereka sasaran penculikan. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.