Shuib Kendali Program Secara Solo

KUALA LUMPUR: Pelawak, Shuib, menyahut cabaran menggalas tanggungjawab sebagai pengacara program televisyen tanpa anggota kumpulannya di sisi.

Menurut Shuib, pada masa sama beliau mendapat sokongan daripada anggota Sepahtu yang lain untuk mencuba nasib mengendalikan rancangan Konti Karat secara solo.

Biarpun kurang berkeyakinan pada peringkat awal, namun suami kepada penyanyi, Siti Sarah, ini berharap peminat dapat menerima percubaan sulung beliau sebagai hos.

“Saya berharap kekurangan sebagai pengacara akan terus dapat diperbaiki, terutama bersama dorongan daripada rakan dan keluarga. Sebelum ini saya selesa bergerak secara berkumpulan, dengan memainkan peranan sebagai ‘feeder’. Jadi, inilah cabaran yang perlu saya hadapi.

“Program ini diadaptasi daripada segmen pagi radio stesen Sinar FM, namun saya diberikan kepercayaan untuk mengacarakan Konti Karat seorang diri. Oleh itu, saya tidak mahu mensia-siakan amanah yang diberikan oleh pihak produksi.

“Alhamdulillah, anggota Sepahtu yang lain begitu memahami dan sangat fleksibel. Kami bebas untuk menerima tawaran secara solo kerana ia dianggap sebagai rezeki masing-masing,” katanya kepada BH Online.

Program santai yang menampilkan Shuib sebagai perantara itu menampilkan beberapa artis jemputan seperti Hazama, Mawi, Siti Nordiana, Ayai Ilusi, Zarul, Siti Sarah dan ramai lagi.

Ia bakal bersiaran bermula 22 September depan dan menemui penonton setiap hari Jumaat, jam 9 malam di saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135).-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.