Rafizi Ramli Agen Perosak Parti, Kata Pemuda PKR Selangor

Agenda Langkah Kajang dan penubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Invoke oleh Rafizi Ramli adalah bukti bahawa ahli parlimen Pandan itu adalah perosak parti, kata Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Ketua Penerangan AMK Selangor, Mizan Adli Mohd Noor berkata, Rafizi terus memecahbelahkan parti dengan merendahkan kewibawaan kepimpinan parti yang belum memuktamadkan isu kerjasama antara PKR dan PAS.

“Sebelum ini, beberapa tindak tanduk beliau seperti mengusulkan langkah kajang yang separuh masak dan menubuhkan INVOKE telah terbukti merosakkan dan memecah belahkan perpaduan anggota parti.

“Sebagai bekas Setiausaha Agong PKR, Rafizi perlu sedar bahawa struktur dan organisasi parti wajib dipelihara dan dipertahankan. Tindakan beliau sama sekali bertentangan dengan disiplin dan etika organisasi parti,” katanya dipetik satu kenyataan.

Mizan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Rafizi mendedahkan bahawa PKR kini terpecah kepada dua blok iaitu pihak menyokong kerjasama bersama PAS dan penentang.

Semalam, Rafizi mendedahkan bahawa kumpulan penyokong kerjasama hubungan PKR dan PAS adalah bagi mengekalkan kuasa PKR sebagai pemerintah Selangor manakala kumpulan penentang adalah demi mewujudkan satu blok pembangkang yang kukuh dibawah Pakatan Harapan.

Katanya, Presiden parti Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail kini tersepit antara kedua-dua blok bagi menjaga hati semua pihak.

Bidas Mizan, pernyataan oleh Rafizi telah memperlihatkan PKR sebagai parti lemah.

“Kenyataan beliau semalam tanpa dibawa dalam perbincangan rasmi parti sama ada Mesyuarat MPP atau Mesyuarat Biro Politik boleh diumpamakan seperti agen perosak yang bertujuan untuk mensabotaj parti sekaligus menjejaskan persediaan parti menjelang PRU-14,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Pakatan Harapan telah membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang lantas bakal mewujudkan pertembungan tiga penjuru antara Pakatan Harapan, Barisan Nasional, dan PAS.

Perutusan berkenaan dibacakan oleh Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad yang membacakan kenyataan rasmi Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Kenyataan berkenaan dibuat diatas nama Dr Mahathir, Presiden Pakatan Harapan Wan Azizah, dan tiga Timbalan Presiden; Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.