Wanita Bertanduk

Sichuan (China) – Doktor di China baru-baru ini berdepan dengan kes yang jarang mereka temui apabila seorang pesakit Liang Xiuzhen datang kepada mereka dengan ketumbuhan seperti tanduk di kepalanya.

 

Wanita berusia 87 tahun itu berkata, tanduk berkenaan mula tumbuh dua tahun lalu dan semakin membesar, lapor akhbar People’s Daily Online.

 

Liang dilapor memberitahu doktor dia mengalami kegatalan amat sangat di tempat tanduk itu membesar lapan tahun lalu.

 

Keluarganya merawatnya dengan mengguna ubat herba tempatan. Memandangkan ubat itu tidak memberi kesan sampingan, dia meneruskan penggunaannya tanpa berasa bimbang.

 

Dua tahun lalu, tanduk kecil sebesar anak jari mula tumbuh di tempat berkenaan.

 

Anaknya, Wang Zhaojun berkata: “Kami ke hospital, tetapi doktor tidak tahu apa yang menyebabkan tanduk itu tumbuh.

 

“Ibu saya tidak suka ke hospital kerana takut tidak pulang lagi apabila ke sana.”

 

Kerana tanduk itu tidak membesar lagi, keluarganya tidak mengendahkannya.

 

Awal tahun ini, apabila Zhaojun membasuh rambut ibunya, dia tersentuh tanduk itu, menyebabkan ia patah.

 

Tidak lama kemudian, tanduk baru tumbuh dan membesar dengan cepat.

 

Dalam masa enam bulan ia membesar sehingga 12.7 sentimeter dengan ukur lilit enam sentimeter.

 

Ketumbuhan itu kini menyerupai tanduk haiwan, dari segi bentuk dan juga warna.

 

Bercerita mengenai keadaannya, Liang berkata: “Ia menyakitkan. Kadang-kadang terlalu sakit sehingga saya tidak boleh tidur.”

 

Menurut doktor, tanduk itu berpunca daripada jangkitan kulit dan boleh dibuang menerusi pembedahan, bergantung kepada kesihatan fizikal pesakit.

 

Bagaimanapun, memandangkan tanduk itu membesar dengan cepat, doktor bimbang ia berbarah.
Bagaimanapun, ini bukan kali pertama wanita di China bertanduk.

 

Pada 2010, ketumbuhan menyerupai tanduk syaitan dilapor muncul di kepala seorang wanita berusia 101 tahun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.