‘RFI Sebahagian Rancangan Kami’

Shah Alam – The Darul Ehsan Investment Group (DEIG) telah melaksanakan proses Pernyataan Minat (RFI) pada Jun lalu, bagi mencari syarikat yang berminat untuk bekerjasama bagi membangunkan tanah kerajaan negeri.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Raja Shahreen Raja Othman berkata, ia adalah sebahagian daripada rancangan strategik untuk operasi syarikat itu, tetapi tegasnya, DEIG belum menandatangani sebarang kontrak perniagaan mahupun membuat keputusan komersial.

 

“DEIG akan beroperasi sepenuhnya menjelang suku pertama 2016,” katanya.

 

Beliau dalam satu kenyataan memaklumkan, DEIG sedang melaksanakan semua proses perniagaan yang diperlukan, untuk memastikan mekanisme berhubung pentadbiran korporat dan ketelusan berfungsi.

 

“Berdasarkan prisip-prinsip ini, MBI telah memulakan RFI pada Jun lalu. Ini adalah sebahagian daripada inisiatif strategik untuk mengumpul maklumat entiti perniagaan yang berminat untuk bekerjasama dengan kami,” katanya.

 

The Rakyat Post sebelum ini melaporkan, isu sama ada DEIG sudah beroperasi atau sebaliknya, menjadi tanda tanya susulan pelaksaaan proses RFI itu.

 

Menteri Besar Incorporated (MBI) telah memulakan proses itu, dengan menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan yang berakhir 10 Julai lalu.

 

MBI memaklumkan, ia masih lagi bergantung kepada budi bicara MBI/DEIG, sama ada Permohonan Cadangan akan diteruskan.

 

Pada 1 Jun lalu, The Edge Financial Daily (FD) memetik Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminuddin sebagai berkata, DEIG akan membangunkan lima bandar baru bernilai RM10 bilion untuk Selangor tahun ini.

 

Katanya, DEIG akan mengenal pasti lima rakan kongsi menjelang akhir tahun ini.

 

Pada 8 Julai lalu, FD melaporkan, DEIG mencari rakan kongsi untuk bekerjasama membangunkan beberapa bidang tanah di Shah Alam, Gombak dan Bukit Beruntung.

 

Laporan itu turut menyebut, kerajaan negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, cabang pelaburan DEIG, iaitu DEIG Land akan mengambil alih peranan pemilik tanah dan pelabur strategik untuk pembangunan.

 

Raja Shahreen yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MBI berkata, pemerbadanan DEIG menyaksikan beliau dan Soffan mengambil peranan sebagai promoter DEIG.

 

“Pendaftaran syarikat RM2 selesai pada 5 Jun lalu. Ini adalah prosedur standard untuk pemerbadanan sebuah syarikat.

 

“Selepas selesai proses pendaftaran, pemilikan DEIG dipindah kepada MBI seperti dalam sijil bertarikh 20 Julai.

 

“Proses pindah milik telah selesai, tetapi ini tidak melibatkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Kami masih menunggu respons SSM,” katanya.

 

Beliau berkata, DEIG ditubuhkan sebagai sebuah entiti korporat dengan matlamat tunggalnya untuk menjadi sayap pelaburan Selangor dan objektifnya adalah untuk mengoptimumkan sumbangan-sumbangan kepada kerajaan, dengan rangka kerja pengurusan profesional dan piawaian pentadbiran korporat tertinggi.

 

“Jadi, maklumat mengenai kewangan dan operasi DEIG akan dimasukkan dalam akaun disatukan MBI dan menjadi sebahagian penyata kewangannya.

 

“Dari segi pemantauan, tahap ketelusan dan kawal selia akan ditingkatkan, kerana penyata kewangan DEIG akan dinilai agensi-agensi kerajaan berkaitan dan jawatankuasa-jawatankuasa Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

 

Jelasnya, DEIG juga akan diaudit sebuah daripada empat firma perakauan Big Four.

 

Tambahnya, MBI akan mengemukakan penyata kewangan disatukan, termasuk semua transaksi DEIG kepada kerajaan negeri yang boleh diaudit Jabatan Audit Negara.

 

Pelbagai pihak mengkritk penubuhan DEIG, dengan mengatakan sebuah syarikat RM2 tidak sepatutnya menguruskan aset-aset kerajaan negeri berjumlah RM30 bilion.

 

DUN Selangor pada 19 Ogos lalu bersetuju menangguhkan operasi DEIG, susulan kebimbangan yang dibangkitkan menerusi perbahasan dalam dewan, sehingga satu mekanisme pengawasan diwujudkan. – Rakyat Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.