Budak 10 Tahun Beri Amaran Kepada Ibu-Bapanya, Jangan Sertai Demo Bersih

Kota Kinabalu – Dengan segala kekecohan melanda perhimpunan kontroversi Bersih 4, seorang kanak-kanak mulai bimbang selepas melihat kehadiran pihak polis yang ramai di sepanjang Tanjung Lipat pagi ini.

 

Kebimbangannya dinyatakan dalam satu amaran kepada ibu bapanya yang menghalang mereka menyertai perhimpunan aman tersebut bersama-sama sekeping gambar Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang sedang bersiap sedia ke lokasi berkenaan.

 

Kanak-kanak yang hanya mahu dikenali sebagai Chloe, 10, menulis: “Mummy daddy nampak polis tangkap kumpulan Bersih itu, jadi jangan sertai kumpulan Bersih itu.”

 

Menurut bapanya, yang hanya mahu dikenali sebagai Philip, anak perempuan sulung daripada dua beradik itu sedang dalam perjalanan untuk ke latihan tarian di sekolah apabila ternampak sepasukan lelaki berpakaian seragam.

 

“Saya fikir beliau tidak tahu apa sebenarnya Bersih, tetapi saya telah berbincang dengan isteri saya. Dia mungkin terdengar dan apabila melihat ramai anggota polis, beliau mungkin rasa sedikit cemas,” kata Philip, penduduk tempatan di sini.

 

Walaupun diberi ‘amaran’ oleh anak perempuannya, Philip tetap bersiap sedia untuk menyertai perhimpunan itu lewat malam ini.

 

“Saya masih di tempat kerja sekarang, jadi saya mungkin lewat malam ini. Isteri saya benar-benar mahu menyertainya, tetapi saya memberitahunya lebih baik beliau tinggal di rumah bersama anak-anak.

 

“Saya tidak menjangkakan sebarang masalah timbul, tapi siapa tahu,” kata Philip.

 

Setakat tengah hari ini, peserta Bersih 4 dilihat di kawasan-kawasan tumpuan bandar, yang dikawal ketat oleh pihak polis, sebelum berarak ke Teluk Likas 2 iaitu taman awam untuk program seterusnya.

 

Di Sabah, acara ini dijangka akan berlangsung selama 24 jam, dan akan berakhir dengan perarakan demokrasi pada hari esok. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.