Bersih 4, Jangan Ganggu Raptai Merdeka Di Dataran Merdeka – Salleh

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak sekali lagi menggesa penganjur dan peserta perhimpunan Bersih 4 agar tidak mengganggu kelancaran sambutan Hari Kemerdakaan di ibu negara.

 

Menurutnya, sekiranya mereka bertegas untuk meneruskan perhimpunan berkenaan maka buatlah di tempat lain dan bukannya di Dataran Merdeka.

 

Jelasnya, dalam perkara ini, apa yang penting dan perlu menjadi keutamaan adalah keselamatan mereka yang hadir.

 

“Penganjur perlu mengambil kira ‘silent majority‘ rakyat Malaysia yang kebanyakannya inginkan keamanan dan kesatuan.

 

“Jadi saya harap persiapan sambutan Hari Kebangsaan ini tidak diganggu oleh para peserta perhimpunan Bersih 4 berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan raptai sambutan Hari Kebangsaan di sini hari ini.

 

Tambah Salleh, beliau meminta semua pihak termasuk penganjur dan peserta Bersih 4 untuk mengenepikan ideologi politik masing-masing sempena Hari Kemerdekaan ini.

 

Ujarnya, semua rakyat diseru untuk bersatu demi Malaysia dan sekiranya ada perbezaan, negara mempunyai sistem politiknya sendiri.

 

“Pada pilihanraya umum akan datang mereka boleh bersaing melalui saluran politik yang ada dan rakyat boleh tentukan melalui parti yang jadi pemerintah.

 

“Oleh itu, saya minta janganlah amalkan budaya demonstrasi atau protes jalanan apatah lagi dalam masa yang sama kita akan raikan Hari Kebangsaan.

 

“Lebih baik kita tumpukan untuk jadikan hari kebangsaan dan amalkan semangat patriotik ke arah yang betul,” tegasnya. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.