ATM Sedia Bertindak Jika Himpunan Bersih Bertukar Rusuhan

RANAU – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia dan akan bertindak sebagai barisan terakhir pertahanan keselamatan sekiranya perhimpunan haram Bersih 4.0 di ibu negara dan beberapa buah negeri bertukar rusuhan yang dahsyat.

 

Tegas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, perkara itu merupakan tugas dan tanggungjawab ATM bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terjamin.

 

“Kita bersiap sedia kerana ATM merupakan barisan terakhir keselamatan negara jika rusuhan itu bertukar dahsyat dan sukar dika­wal.

 

“Bagaimanapun, saya yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) mampu mengawal keadaan keselamatan sepanjang perhimpunan itu berdasarkan pengalaman tiga siri perhimpunan haram sebelum ini,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Jiwa Murni ATM bagi membantu membaiki rumah penduduk kawasan Kundasang yang rosak akibat bencana gempa bumi Jun lalu di sini hari ini.

 

Yang turut hadir, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Masidi Manjun; Panglima Pemerintahan Medan Timur, Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Zaki Mokhtar serta Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

 

Sebanyak 12 buah rumah, masing-masing sembilan buah rumah di Kota Belud manakala tiga buah di Kundasang terlibat dalam program itu dengan peruntukan sebanyak RM200,000.

 

Semalam, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin memberitahu, ATM hanya akan campur tangan dalam perhimpunan haram itu sekiranya keadaan tidak terkawal dan kerajaan mengisytiharkan darurat.

 

Dalam pada itu, Hishammuddin menyelar tindakan sesetengah pengguna laman media sosial yang mendakwa ATM akan masuk campur dalam kawalan keselamatan sepanjang perhimpunan haram itu berlangsung.

 

Kata beliau, kenyataan itu tidak berasas dan sengaja diputarbelitkan bagi menimbulkan provokasi dalam kalangan masyarakat.

 

“Kita amat kecewa apabila kenyataan Panglima Angkatan Tentera diputarbelitkan. Dengan itu, ditegaskan bahawa tiada campur tangan ATM sebaliknya akan bertindak sebagai benteng terakhir jika perhimpunan haram itu bertukar rusuhan dahsyat,” katanya.

 

Mengulas tentang program Jiwa Murni tersebut, Hishammuddin melahirkan rasa bangga apabila ATM terlibat secara langsung dalam perkongsian pintar membantu masyarakat.

 

Kata beliau, penglibatan ATM tidak hanya tertakluk kepada menjaga keselamatan tetapi terlibat secara langsung dalam mengendalikan bencana termasuk membaiki rumah dan kemudahan asas lain.

 

“Komitmen itu wajar diperluaskan dan bukan hanya tertumpu kepada usaha menjaga keselamatan tetapi membantu masyarakat setempat,” jelasnya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.