YOG 2014 : Pencapaian Nanjing Cermin Kejayaan Olimpik

Nanjing – Kejayaan luar biasa kontinjen negara membawa pulang satu pingat emas, dua pingat perak dan satu pingat gangsa di Temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) edisi kedua merupakan cermin kejayaan yang bakal diraih atlet negara pada cabaran sebenar temasya Sukan Olimpik Rio di Brazil 2016 dan Olimpik Tokyo, Jepun pada 2020.

Kontinjen negara YOG 2014 bukan hanya berjaya mengatasi pencapaian pada edisi pertama sebelum ini, iaitu dua pingat perak yang disumbangkan oleh ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamng di Singapura, empat tahun lepas, tetapi turut membuktikan bahawa Malaysia kini setanding dengan kuasa sukan besar dunia.

Empat pingat negara pada YOG 2014 disumbangkan oleh pemain badminton pelapis negara, Cheam June Wei yang meraih pingat emas dalam acara beregu campuran  antarabangsa, penerjun negara, Loh Zhiayi dalam acara 10m platform individu (pingat perak) dan 3m papan anjal individu wanita (pingat gangsa) serta pemanah negara, Muhamad Zarif Syahiir Zolkifli, (pingat perak) acara recurve campuran antarabangsa.

Kejayaan itu dianggap luar biasa apabila sebelum ini, Majlis Sukan Negara (MSN) sendiri mahupun Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak berani meletakkan  sebarang sasaran pingat sebelum 20 atlet remaja negara berlepas ke Nanjing.

Ketua pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Seri Zolkples Embong berharap pendedahan berguna itu akan dijadikan sebagai pendorong kepada atlet remaja negara untuk menyusun langkah bagi mengejar kejayaan pada masa hadapan tidak kira apa jua kejohanan.

“Mereka (atlet) adalah pelapis yang akan menggantikan atlet elit pada masa hadapan dan kita di MSN berharap hasil daripada usaha itu dapat dicapai pada Olimpik Rio 2016 ataupun Olimpik Tokyo 2020,” katanya ketika dihubungi wartawan Bernama dari Nanjing, China hari ini.

Zolkples berkata berdasarkan pencapaian di YOG 2014, beliau dapat lihat peluang cerah menanti atlet remaja negara sekiranya mereka terus berusaha gigih dan mengekalkan persembahan secara konsisten.

“Kejayaan ini adalah hasil program empat tahun yang dianjurkan MSN bagi melahirkan lebih ramai bakat baharu yang mempunyai kemampuan dan berkebolehan untuk berdaya saing di peringkat antarabangsa sejajar dengan misi negara untuk meraih pingat emas pertama negara di peringkat Sukan Olimpik,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pencapaian keseluruhan atlet negara di YOG 2014, Pengarah Cawangan Pelapis MSN, Jefri Ngadirin berkata semua atlet remaja  berjaya memberi saingan hebat di Nanjing walaupun mereka terpaksa berdepan atlet handalan dunia dalam misi memburu pingat di Nanjing.

“Sekiranya mereka (atlet) diasuh dengan baik maka negara pasti akan mendapat hasil dalam jangka masa empat atau lima tahun lagi dan saya jangka satu atau dua orang atlet YOG 2014 mungkin terpilih untuk menggalas cabaran negara di Olimpik Rio pada 2016,” katanya.

Beliau berkata impian tersebut hanya dapat dicapai sekiranya persatuan sukan kebangsaan cepat bertindak menyusun program bagi atlet YOG 2014 apabila mereka  pulang ke tanah air nanti.

Mengulas mengenai sukan badminton, Jefri berkata penyumbang pingat emas pertama negara, Cheam berjaya membuktikan bahawa beliau mampu pergi jauh dalam sukan itu.

“Walaupun Cheam gagal di saingan suku akhir acara perseorangan individu lelaki, namun dia mempunyai bakat besar jika segera diasah melalui kejurulatihan yang lebih baik oleh pihak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) agar mampu menyaingi pemain hebat dari negara China, Jepun, Indonesia mahupun negara Eropah,” katanya.

Jefri berkata kejayaan penerjun negara Loh meraih satu pingat perak dan satu pingat gangsa di YOG 2014 membuktikan bahawa negara tidak ketandusan atlet terjun dan beliau dilihat mempunyai potensi untuk menyerlah di temasya sukan antarabangsa.

“Loh mempunyai bakat besar dan dilihat mampu menggantikan tempat ratu terjun negara, Pandalela Rinong Pamng satu hari nanti,” katanya.

Beliau berkata kejayaan pemanah remaja negara, Muhamad Zarif memenangi pingat perak dalam acara berpasukan antarabansa juga harus diberi pujian apabila pemanah berasal dari Terengganu itu dilihat mempunyai bakat besar dan mampu diketengahkan ke peringkat lebih tinggi selepas ini.

Jefri berkata walaupun acara olahraga gagal menyumbang pingat, kejayaan atlet lompat kijang wanita pelapis negara, R. Kirthana menempatkan dalam kelompok lapan terbaik dunia di saingan peringkat akhir harus diberi pujian kerana bukan mudah untuk layak ke final kategori A dalam sukan olahraga.

“Atlet gimnastik lelaki negara, Jeremiah Loo Phay Xing juga berjaya menempatkan diri dalam kelompok tujuh terbaik dunia dalam acara palang sejajar dan lapan terbaik dunia dalam acara kekuda berpelana membawa sinar baharu dalam sukan gimnastik artistik negara setelah lama Malaysia ketandusan atlet dalam acara tersebut,” katanya.

Pada edisi kali ini, Malaysia menghantar 20 atlet mengambil bahagian dalam 10 daripada 28 jenis acara sukan yang dipertandingkan.

Acara sukan tersebut ialah akuatik (renang dan terjun), badminton, gimnastik (artistik dan gimrama), golf, memanah, menembak, olahraga, pelayaran, taekwondo, dan juga ekuestrian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.