Malaysia-Turki Tingkat Hubungan Dua Hala

Ankara  – Malaysia menyasarkan untuk mempertingkatkan lagi hubungan dua hala meliputi sektor lebih luas dengan Turki ketika negara dengan lebih 80 juta penduduk ini meraikan pelantikan presiden baharu pada Khamis.

Semasa menyatakan perkara itu, Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan harapan bahawa pelantikan Recep Tayyip Erdogan sebagai presiden ke-12 Turki, yang beliau sifatkan sebagai rakan karib Malaysia, akan mempercepatkan proses itu.

Bercakap kepada wartawan Malaysia di sini, beliau menarik perhatian akan hakikat bahawa dialog sebelum ini antara Kuala Lumpur dan Ankara, yang memulakan hubungan diplomatik pada 1964, telah membawa kepada perlunya hubungan dua hala dibawa ke peringkat lebih tinggi, dengan sasaran untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan.

“Dan kami juga berharap bahawa dengan pemimpin baharu dalam pucuk pimpinan akan membawa kepada peningkatan kerjasama dua hala dan hubungan dalam bidang termasuk pendidikan, pelancongan, kebudayaan, urusan pentadbiran, latihan dan lain-lain,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin mewakili kerajaan Malaysia pada upacara pelantikan tokoh kelahiran Istanbul Erdogan, 60, yang telah berkhidmat 11 tahun sebagai perdana menteri Turki sebelum memenangi pilihan raya presiden yang pertama negaranya pada 10 Ogos tahun ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.