Kenyataan Mustafa Ali Bukan Keputusan Muktamad – Pas Selangor

Shah Alam – PAS Selangor menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali semalam  berhubung calon menteri besar Selangor yang baru bukan satu keputusan muktamad.
    
Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Abdul Samad sebaliknya berkata penentuan calon sebenar bagi jawatan tersebut akan diputuskan dalam mesyuarat pemimpin PAS Pusat sebelum diserahkan kepada istana Selangor.
    
“Kita lihat, apa yang dinyatakan Datuk Mustafa hanya sekadar bayangan saja namun kita mahu dengar keputusan akhir berkenaan siapa calon layak daripada pimpinan PAS pusat sendiri.
    
“Namun demikian, pihak saya (PAS Selangor) tidak menghantar nama untuk dicalonkan bagi jawatan itu (menteri besar baru)… kita serahkan saja pada PAS Pusat untuk menentukan siapa yang layak sebelum nama dihantar (ke istana) Rabu depan,” katanya kepada pemberita di Shah Alam semalam.

Ditanya sama ada nama Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut tersenarai sebagai calon menteri besar baru yang dicadang PAS Pusat, Iskandar bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenainya.
    
Kelmarin, Mustafa berkata PAS akan mencalonkan sekurang-kurangnya tiga ADUN dari PKR untuk jawatan menteri besar Selangor yang baru.
    
Menurutnya, ia berikutan PAS Selangor tetap dengan keputusan untuk tidak menamakan anggotanya sebagai calon bagi jawatan tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.