Karangkraf Beri Sumbangan Penghargaan Kepada Keluarga Bekas Pekerja

Shah Alam  – Suasana hiba menyelubungi majlis penyampaian sagu hati syarikat kepada ahli keluarga Allahyarham Erni Zurita Ismail di Bangunan Grup Sinar Karangkraf, Shah Alam hari ini.

Allahyarham yang berkhidmat sebagai Pengurus IT, Grup Digital Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf), meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) Januari lalu akibat menderita penyakit barah.

Bagi menghargai jasa Allahyarham berkhidmat selama 10 tahun bersama syarikat, Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk (Dr) Hussamuddin Yaacub berbesar hati menghadiahkan ibu dan suami arwah cek bernilai RM151,081 setiap seorang.

Menurut Hussamuddin, pemergian Allahyarham disifatkan suatu kehilangan besar buat syarikat.

Sementara itu,  ibu Allahyarham Siti Eiasah Abd Rashid menyifatkan arwah seorang yang berjiwa besar serta komited terhadap pekerjaannya

“Dengan adanya duit ini, dapat juga kami menunaikan hasrat arwah yang tidak kesampaian untuk ke Makkah,”katanya.

Bapa Allahyarham,  Ismail Yuki, turut merakamkan terima kasih kepada syarikat di atas pemberian sagu hati itu.

“Kami memang tidak menyangka akan pemberian ini, dan amat berterima kasih kepada Datuk (Hussamuddin) terutamanya kerana sanggup menyerahkan sumbangan ini kepada keluarga. Kami juga amat terkejut juga sebenarnya.”

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi, Syamil Fahim; suami Allahyarham, Ahmad Kamal Kamis dan beberapa staf lain.

Allahyarham meninggalkan suami serta dua orang anak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.