Badminton: Impian Beregu Lelaki Negara Berakhir Di Copenhagen

Copenhagen – Harapan Malaysia untuk menyaksikan sekurang-kurangnya satu pasangan beregu lelaki beraksi pada saingan separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia BWF 2014 di sini, tidak menjadi kenyataan.

Wakil tunggal negara, Hoon Thien How dan Tan Wee Kiong yang diletakkan selaku pilihan ketujuh, kalah mengejut 18-21,13-21 kepada pilihan ke-12, Ko Sung Hyun dan Shin Baek Cheol dari Korea Selatan pada saingan suku akhir di Ballerup Super Arena, di sini, hari ini.

Tan mendakwa mereka hanya sempat menjalani latihan singkat selama sebulan setengah memandangkan dia sebelum ini banyak beraksi bersama Goh V Shem.

Pemain berusia 25 tahun itu turut mengakui perubahan mengejut taktikal pihak lawan turut menjadi punca kekalahan mereka walaupun pernah menang dua kali dalam pertemuan terdahulu.

Tan dan Hoon pernah mengalahkan wakil Korea Selatan itu pada pusingan kedua Kejohanan Terbuka China 2013 serta peringkat suku akhir Terbuka Jerman, awal tahun ini.

“Mereka sudah baca corak permainan dengan bagus sejak set pertama…kita pula lambat untuk mematikan hantaran mereka. Kita cuba mengubah rentak permainan (pada set kedua) namun sudah terlambat,” kata pemain kelahiran Johor itu.

Mengulas mengenai peluang meraih pingat pada Sukan Asia 2014 di Korea Selatan, September ini bersama Goh, Tan hanya menyasarkan dapat memberi persembahan terbaik kerana Goh bakal menjalani rawatan pemulihan kecederaan belakang dalam tempoh terdekat.

Turut senada dengan Tan ialah Hoon yang mendakwa kurang keserasian dalam permainan selepas lama tidak beraksi bersama menjadi punca kekalahan mereka.

Satu lagi pasangan beregu lelaki negara, Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong sebelum itu tersingkir daripada kejohanan ini selepas kalah 21-14, 10-21,19-21 kepada pilihan keenam, Lee Sheng Mu dan Tsai Chia Hsin Tsai dari Taiwan dalam pusingan ketiga pada Khamis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.