PUTRAJAYA: Akta Dana Politik perlu diwujudkan segera bagi mengawal pembiayaan mana-mana pihak kepada parti politik semasa musim pilihan raya.
Langkah itu penting bagi membanteras kegiatan rasuah politik serta memastikan integriti politik dan pilihan raya dapat dipertingkatkan demi menjamin sistem demokrasi lebih bersih dan adil.
Malah, Akta Dana Politik wajar disegerakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi membendung penerimaan wang haram dalam kalangan ahli politik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, ia sekali gus membanteras kegiatan ‘rasuah politik’ dan pada masa yang sama integriti politik dan pilihan raya dapat dipertingkatkan demi menjamin pengurusan sistem demokrasi yang lebih baik.
“Saya menyeru kepada pihak kerajaan terutama Jabatan Peguam Negara supaya dapat melihat perkara ini secara serius dan diletakkan di bawah bidang kuasa dan tanggungjawab SPR.
“Dengan kewujudan akta tersebut, saya yakin aktiviti pendanaan kepada parti-parti politik oleh individu, persatuan dan pihak swasta semasa musim pilihan raya sama ada PRU dan pilihan raya kecil (PRK), dapat dikawal dan dibendung,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut Wan Ahmad, dari pemerhatian beliau sepanjang bersama SPR, isu-isu tentang rasuah politik, politik wang, integriti pilihan raya sentiasa dibangkitkan oleh parti politik, pemerhati pilihan raya dan rakyat amnya.
Katanya, ini tidak dapat dinafikan kerana rata-rata beranggapan terdapat jumlah wang yang besar disalurkan oleh mereka yang mempunyai kepentingan kepada parti-parti politik (kerajaan dan pembangkang), atas nama ‘sokongan dan sumbangan politik’ untuk tujuan membantu parti menghadapi pilihan raya.
Malah, kata beliau, ia dipercayai ada sumbangan berpunca dari sumber-sumber di luar negara iaitu organisasi-organisasi tertentu di peringkat antarabangsa.
“Sumbangan berbentuk dana sulit dan sebagainya, disalurkan kepada parti-parti politik semasa musim pilihan raya. Kemuncaknya semasa negara berdepan PRU 2008, 2013 dan 2018.
“Hakikatnya, disebabkan ketiadaan Akta Dana Politik, maka usaha untuk membendung pendanaan politik dari dalam dan luar negara menjadi faktor utama memberi kesulitan kepada pihak-pihak berwajib seperti polis, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPRM) dan SPR untuk mengawal dan mengambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata, akta yang bertujuan mengawal aktiviti pembiayaan politik dari mana-mana pihak kepada parti-parti politik yang sah dan berdaftar sudah pun diamalkan di Singapura iaitu Political Donation Act atau Akta Sumbangan Politik yang diletak di bawah tanggungjawab Jabatan Pilihan Raya, Singapura.
Dalam konteks ini, kata beliau, sumbangan politik berpunca dari dana asing perlu dihalang dan dilarang sama sekali.
“Dengan mempunyai akta ini, ia bukan sahaja dapat membantu kerajaan dan negara dalam melaksanakan proses demokrasi secara lebih berintegriti kerana integriti politik dan pilihan raya merupakan antara elemen penting dalam melaksanakan pilihan raya yang bebas, bersih dan adil,” katanya.
Sementara itu, Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Achmad Dzariean Mohd. Nadzri berkata, akta berkaitan pembiayaan politik merupakan satu perkara baharu bagi Malaysia dan negara boleh merujuk contoh negara lain yang telah pun mewujudkan akta itu seperti Jerman yang menetapkan setiap parti politik berhak menerima dana kerajaan mengikut jumlah undi yang diterima, manakala Amerika Syarikat (AS) pula memastikan undang-undang sumbangan dana perlu telus dan tiada salah laku.
Di United Kingdom (UK) pula, kata beliau, negara itu mengehadkan sumbangan daripada mana-mana pihak berjumlah 500 pound sahaja dan pembiayaan dana itu mesti datang dari dalam negara selain menetapkan prosedur tertentu jika sumbangan dari luar negara.
“Mungkin Malaysia boleh mengambil contoh paling baik dari UK kerana mempunyai sistem sama dan perlu mengkaji lagi secara mendalam termasuk meniru contoh-contoh negara yang mempunyai indeks persepsi rasuah (CPI) yang tinggi.
“Dua negara contoh terbaik ialah New Zealand dan Denmark bagaimana memperoleh CPI tinggi dan rendah amalan rasuah di dua negara tersebut untuk dijadikan panduan bagi melaksanakan akta ini,” katanya.
Kelmarin, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mengusulkan agar Akta Dana Politik perlu disegerakan.
Wan Saiful sudah mengusulkan kepada Kabinet agar diputuskan segera bagaimana untuk melaksanakan penambahbaikan yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Pembaharuan Pilihan Raya (ERC) di bawah Jabatan Perdana Menteri, termasuk dalam hal pendanaan politik.
Dalam pada itu, penganalisis politik Dr. Mazlan Ali dari Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur berkata, Malaysia ketika ini sepatutnya mengelakkan ahli politik terlibat dengan isu pendanaan politik terutamanya melibatkan politik wang.
“Di Malaysia isu ini masih dalam peringkat perbincangan sedangkan di Amerika Syarikat, Australia dan Britain sudah ada undang-undang khusus pendanaan politik untuk mengawal ahli politik mereka.
“Jika diaktakan, ruang rasuah ahli politik akan lebih tertutup kerana setiap penerimaan dana bakal diaudit, dilaporkan dan dipantau. Pihak yang menggunakan dana lebih turut didakwa. Antara dana politik rasuah termasuk dana berkaitan janji politik untuk melakukan sesuatu apabila diberikan,” katanya. – UTUSAN