Peta Indonesia 2017, Tercabarkah Hak Berdaulat Malaysia Di Selat Melaka?

Baru – baru ini, Indonesia telahpun menerbitkan peta baru 2017 mengesahkan kedaulatan dan hak berdaulatnya ke atas beberapa kawasan maritim antaranya, Selat Melaka, Selat Singapura, Laut China Selatan dan Laut Sulawesi.

Sebagai sebuah negara yang berkongsi Selat Melaka dengan Indonesia, adalah penting bagi Malaysia untuk melukis garis sempadan yang utuh ke atas wilayah maritimnya di Selat Melaka, memetik Awani.

Artikel 3 Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Berkaitan Undang-undang Laut 1982 (LOSC) jelas menyebut bahawa sebuah negara pesisir boleh menuntut sehinga 12 batu nautika (lebih kurang 22 kilometer) wilayah laut dari garis dasar negara pesisir tersebut. Sesebuah negara pesisir memiliki kedaulatan ke atas wilayah lautnya yang merangkumi kawasan perairan dan dasar laut. Negara pesisir tidak lagi boleh menuntut kedaulatan di kawasan melebihi 12 batu nautiki ini, tetapi boleh mengamalkan hak berdaulatnya sehingga 200 batu nautika (lebih kurang 370 km) yang dinamakan zon ekonomi ekslusif (EEZ), yang merupakan zon perikanan.

Walaubagaimanapun, garis sempadan EEZ hanya terhad kepada kawasan perairan zon tersebut dan tidak termasuk dasar laut. Kawasan dasar laut dikenali sebagai ‘pelantar benua’, yang selalunya kaya dengan hasil galian dan petroleum, yang mana LOSC membenarkan sesebuah negara pesisir menuntut sehingga 200 batu nautika pelantar benua yang diukur dari garis dasar. Dalam sesetengah keadaan, garis sempadan bagi EEZ dan pelantar benua mungkin berbeza di antara dua negara pesisir yang berjiran. Dalam hal ini, sesebuah negara pesisir boleh mengamalkan hak berdaulatnya untuk melombong galian dari dasar laut tetapi tidak boleh melakukan aktiviti perikanan di kawasan yang sama kerana perairannya adalah hak berdaulat negara lain.

Garis sempadan EEZ hanya terhad kepada kawasan perairan zon tersebut dan tidak termasuk dasar laut.

Sewaktu Belanda dan British menjajah Pulau Sumatera dan Tanah Melayu, mereka tidak melukis secara jelas sempadan wilayah laut di antara kedua-dua wilayah ini. Sempadan maritim ini hanya dilukis setelah Tanah Melayu dan Pulau Sumatera merdeka pada tahun 1957 sebagai Persekutuan Tanah Melayu (kemudian Malaysia pada tahun 1963) dan Pulau Sumatera merdeka di dalam Indonesia pada tahun 1945. Malaysia dan Indonesia memeterai perjanjian pada 17 Mac 1970, membahagi wilayah laut untuk kedua-dua negara di Selat Melaka. Di kawasan yang melebihi dari 12 nautika batu, Malaysia telahpun menandatangani perjanjian pada tahun 1969 untuk melukis garis sempadan pelantar benua di Selat Melaka. Pada waktu ini, tidak ada perjanjian untuk melukis garis sempadan EEZ kerana EEZ masih belum lagi wujud. EEZ hanya wujud setelah LOSC dikuatkuasakan pada tahun 1982.

Kebanyakan kawasan selatan di Selat Melaka, dari Klang, Selangor ke Kukup, Johor, adalah terlalu sempit, dengan keluasan kawasan maritim kurang daripada 200 batu nautika dan oleh itu, tidak memiliki zon pelantar benua dan EEZ.

Walaupun Malaysia dan Indonesia telah mempunyai sempadan wilayah laut dan pelantar benua yang dipersetujui, kedua-dua negara belum lagi mempunyai perjanjian berkaitan sempadan EEZ di Selat Melaka. Ketiadaan sempadan EEZ yang jelas di kawasan utara Selat Melaka telah menimbulkan pelbagai kesulitan untuk nelayan-nelayan Malaysia dan Indonesia untuk menjalankan aktiviti perairan di kawasan yang memiliki tuntutan bertindih ini, yang juga dikenali sebagai ‘grey area’.

Bermula tahun 2008 sehingga 2012, pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia telah banyak menahan nelayan-nelayan kedua-dua negara di kawasan ‘grey area’ ini dan dituduh melakukan aktiviti perikanan haram yang merupakan suatu kesalahan menurut undang-undang kedua-dua negara. Oleh kerana perbincangan mengenai sempadan EEZ masih lagi berjalan, pihak berkuasa kedua-dua negara telah bersetuju pada Februari 2012 untuk tidak lagi menahan mereka tetapi mengarahkan mereka untuk meninggalkan kawasan pertikaian berkenaan.

Dalam peta barunya, Indonesia tidak menggunakan garis sempadan sama yang digunakan untuk pelantar benua yang dipersetujui pada tahun 1969 untuk melukis garis EEZnya di Selat Melaka. Indonesia menggunakan konsep ‘equidistance’ atau ‘jarak saksama’, untuk melukis garis EEZnya di Selat Melaka seperti yang ditunjukkan oleh garis putih di Rajah 1. Garis sempadan yang dicadangkan oleh Indonesia ini jelas memberikan kawasan EEZ yang lebih kepada Indonesia kerana ianya dilukis mendekati kawasan persisiran pantai barat Semenanjung Malaysia. Malaysia pula menekankan bahawa garis sempadan EEZ adalah sama dengan garis pelantar benua, seperti yang ditunjukkan oleh garis hitam di Rajah 1.

Rajah 1: Kawasan EEZ ‘Grey Area di Selat Melaka Garis Putih: Garis yang dicadangkan oleh Indonesia Garis Hitam: Garis yang dicadangkan oleh Malaysia

Perkara ini bukanlah suatu yang luar biasa kerana amalan memiliki garis sempadan yang berbeza untuk EEZ dan pelantar benua telahpun dilakukan oleh Australia dan Indonesia di Laut Timor, seperti yang ditunjukkan di Rajah 2:

Rajah 2. Pada rajah ini dapat dilihat bahawa garis sempadan pelantar benua di Laut Timor memberikan kelebihan kepada Australia dan garis sempadan EEZ memberikan kelebihan kepada Indonesia. (Sumber: The Diplomat)

Indonesia bersetuju untuk menggunakan garis sempadan yang memberikan kelebihan kepada Malaysia ini kerana Malaysia telah menyokong konsep negara kepulauan Indonesia sewaktu Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Berkaitan Undang-undang Laut III (UNCLOS III) – yang sehingga kini telah memberi manfaat yang sangat besar kepada Indonesia. Garis sempadan pelantar benua sedia ada memberikan Malaysia hak berdaulat yang lebih di Selat Melaka kerana garis tersebut dilukis mendekati pesisir timur pulau Sumatera. Oleh itu, garis sempadan pelantar benua yang dipersetujui oleh Malaysia dan Indonesia pada tahun 1969 sepatutnya digunakan untuk EEZ – kerana pada waktu itu EEZ masih belum wujud. Harus diingat bahawa tanpa sokongan kuat Malaysia pada dekad 70-an sewaktu UNCLOS III, barangkali sukar buat Indonesia untuk memperjuangkan konsep negara kepulauannya.

Ini hanyalah salah satu daripada banyak lagi kawasan pertikaian maritim yang tersebar di seluruh Asia Tenggara. Dalam hal ini, Malaysia seharusnya terus berbincang dengan Indonesia agar garis sempadan yang sama digunakan untuk EEZ dan pelantar benua bagi kedua-dua negara di Selat Melaka.

Lagipula, pemakaian satu garis sempadan untuk EEZ dan pelantar benua boleh memudahkan pengurusan, pengawasan dan pelaksanaan undang-undang di kawasan maritim tersebut di Selat Melaka.

*Mohd Hazmi Mohd Rusli (Ph. D) ialah pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.